MALAYSIAKINI
Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari menegaskan bahawa hudud juga boleh
dilaksana ke atas sultan dan raja-raja Melayu, malah golongan itu boleh
dilucutkan takhta sekiranya tidak mematuhi undang-undang Islam atau
melakukan dosa besar.
Katanya, perkara itu dinyatakan secara tersirat dalam perlembagaan
persekutuan dan ada di antara butirannya itu dinyatakan dalam
perlembagaan negeri masing-masing.
“Sultan boleh dilucut takhta sekiranya mereka melakukan tindakan yang
dianggap sebagai uzur sharie, yang mendedahkan kelemahan peribadi
mereka, dari sudut pandangan Islam.
“Faktor ini juga penting untuk menentukan sama ada pewaris takhtanya boleh dilantik sebagai sultan,” katanya.
Abdul Aziz berkata, majlis perajaan di setiap negeri bagaimanapun
terlepas pandang peruntukan tersebut, yang menimbulkan masalah pada hari
ini.
Keadaan ini menyebabkan kemunculan pemerintah yang personalitinya tidak mengikut tatasusila moral Islam yang tegas.
Abdul Aziz bersetuju dengan pandangan oleh anggota exco Pemuda Umno
Fathul Bari Mat Jahaya yang berkata hudud boleh dilaksana ke atas sultan
dan raja Melayu.
Fathul berpendapat, perlembagaan persekutuan tiada peruntukan yang menghalang perkara itu.
“Sebagai ketua agama Islam, tidak perlu dinyatakan lagi bahawa sultan pertama sekali tertakluk kepada undang-undang Islam.
“Ini bermakna tertakluk kepada hudud. Oleh itu sultan tidak boleh
melakukan dosa besar termasuk berzina, mencuri dan minum arak,” katanya
kepada Malaysiakini.
Pakar perlembagaan itu juga berkata, perlembagaan persekutuan
memansuhkan kekebalan raja-raja dan mereka tertakluk kepada
undang-undang sivil, ekoran pindaan pada tahun 1993 ke atas Perkara 182
Perlembagaan Persekutuan.
“Perlu dilihat bahawa keistimewaan kekebalan atau dikecualikan dari
prosiding perundangan agak terasing dari fahaman mengenai kesamarataan
dalam Islam.
“Dari sudut pandangan ini, mahkamah khas itu satu anomali kerana ia
meletakkan sembilan raja-raja melebihi undang-undang, kononnya."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan