Isnin, 5 Mei 2014

Rahim Noor cadang kembalikan ISA

MALAYSIAKINI



 
 
 
Bekas ketua polis begara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor berpendapat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu diwujudkan kembali bagi membendung kegiatan militan di negara ini.

Katanya, bagi membendung kegiatan militan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) dilihat mempunyai banyak kelemahan jika dibandingkan dengan ISA.

"Saya rasa pada hal-hal tertentu (ISA) boleh mengatasi. Undang-undang (yang) dinamakan Sosma ada kelemahan dan kekurangan.

"Tak semestinya (wujudkan) ISA tetapi undang-undang seperti ISA perlu diwujudkan bagi menahan dan mencegah (militan).

"Dulu pergerakan Jemaah Islamiah (JI), Al-Arqam kita sapu bersih menerusi undang-undang (ISA)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung penangkapan 11 individu yang disyaki militan yang diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar semalam.

Dalam laporan semalam Abdul Khalid berkata sebelas individu yang disyaki aktiviti militan ditahan kerana cuba merekrut warga tempatan untuk menjadi pengebom berani mati di luar negara.

Tambahnya, polis menahan individu-individu terbabit kerana aktiviti mereka mempunyai elemen "mengancam keselamatan negara dan rakyat".
 

Tiada ulasan: