SPR  
SPR


PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas mengenai kerusi Parlimen Teluk Intan pada Khamis ini berikutan kematian penyadangnya Seah Leong Peng pada Khamis lepas.
     
Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, suruhanjaya itu menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 9.25 pagi ini berhubung kekosongan kerusi itu.
     
Mesyuarat khas itu, yang dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, akan diadakan di ibu pejabat SPR di sini pada 10 pagi, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
     
“Mesyuarat itu akan membincangkan mengenai tarikh-tarikh penting seperti tarikh Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian Awal, Hari Pengundian Biasa, Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam Pilihan Raya Kecil itu dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan Pilihan Raya Kecil itu," katanya.
     
Satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat khas itu.
     
Leong Peng, 48, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Petaling Jaya akibat kanser pada kira-kira 7.30 pagi Khamis lepas.
     
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Leong Peng menewaskan calon BN, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas, Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi. - Bernama