GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa parti agar tidak mengambil mudah Pilihanraya Kecil (PRK) Bukit Gelugor pada 25 Mei ini ekoran keputusan Barisan Nasional (BN) dan MCA untuk tidak bertanding.
“DAP menyeru semua pimpinan dan ahli agar tidak mengambil mudah PRK kali ini, walau pun BN dan MCA menarik diri daripada bertanding,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan mengumumkan parti itu tidak akan meletakkan calon pada PRK Bukit Gelugor, kononnya untuk memberi tumpuan kepada isu pelaksanaan hudud di Kelantan.
Mengulas pengumuman itu, Guan Eng menyifatkan alasan itu sebagai mengarut dan ‘bertentangan’ (self-contradictory) dengan MCA sendiri.
“MCA ada hak demokratik untuk bertanding atau tidak. Biasanya kami akan menghormatinya, namun alasan yang diberikan sangat mengarut, palsu dan bertentangan.
“Jelas, MCA bukan sekadar menipu diri sendiri, malah rakyat dengan memberi alasan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,” katanya, membandingkannya dengan keputusan sama pada PRK Penanti pada tahun 2009, ekoran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR Mohammad Fairus Khairuddin yang meletak jawatan.
Dalam PRK itu, BN tidak meletakkan calon dalam PRK itu dengan alasan ia hanyalah ‘mainan politik pembangkang’.
“Ketika itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata PRK hanya perlu diadakan atas sebab yang dinyatakan Perlembagaan, iaitu kematian atau perletakan jawatan kerana muflis.
“Jadi bagaimana MCA dakwa tidak akan bertanding dalam PRK Bukit Gelugor untuk pertahankan Perlembagaan. Ia bertentangan dengan kata-kata Najib. Bekas Pengerusi DAP Karpal Singh bukannya meletak jawatan, tetapi terkorban dalam kemalangan,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.
MCA sebenarnya takut
Dalam pada itu, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim berkata, sebab sebenar MCA menarik diri adalah takut kalah besar dalam PRK itu, seterusnya menyukarkan niat parti itu untuk kembali menyertai Kabinet.
“MCA boleh beri apa sahaja alasan, namun sebab sebenarnya mereka takut kalah besar. Itu akan menyukarkan mereka untuk mewajarkan penyertaan semula mereka ke kabinet,” katanya.
Katanya lagi, penarikan diri itu juga membuktikan MCA sendiri tidak percaya terhadap segala serangan mereka ke atas DAP, terutama berhubung isu hudud.
“Jika mereka percaya propaganda mereka, bahawa DAP telah mengkhianati pengundi dalam isu hudud, MCA sepatutnya yakin pengundi Bukit Gelugor akan memilih mereka, malah mungkin membuatkan calon DAP hilang deposit,” katanya lagi. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan