MALAYSIAKINI
Malaysia berazam untuk meneruskan usaha pencarian pesawat Malaysia
Airlines MH370 dengan kerjasama negara-negara rakan walaupun sehingga
kini masih belum berhasil, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Beliau berkata misteri kehilangan MH370 tidak pernah berlaku dalam
sejarah penerbangan dunia apabila sistem telekomunikasi pesawat
dipadamkan dan kaedah pencarian untuk mengesan pesawat belum diguna
pakai.
"Meskipun
kita belum berhasil sehingga hari ini tetapi kerajaan berazam untuk
meneruskan usaha pencarian dengan kerjasama rakan-rakan dari
negara-negara lain terutamanya Australia yang menunjukkan komitmen luar
biasa membantu Malaysia mencari pesawat yang dimiliki oleh kita,"
katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya
hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir
Baharom dan Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri
Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri
Mohamad Zabidi Zainal.
Penerbangan MH370 yang membawa 239 orang hilang daripada imbasan radar
ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah
berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41
tengah malam.
Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Gerakan mencari yang melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk
mengesan pesawat Boeing 777-200ER itu dengan pada mulanya dilakukan di
Laut China Selatan sebelum di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan
melencong daripada laluan asalnya.
Selepas analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir
pesawat itu adalah di Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Najib
mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 'berakhir di selatan
Lautan Hindi'.
Pada perhimpunan bulanan itu, Najib turut menyatakan bahawa Malaysia
telah menunjukkan kisah kejayaan proses transformasi yang begitu besar
dalam segenap lapisan kehidupan rakyat negara ini kepada Presiden
Amerika Syarikat Barack Obama, yang melawat negara ini bulan lepas.
Beliau berkata ketika lawatan Presiden Lyndon B.Johnson pada 1966,
Malaysia hanya mampu membawa pemimpin Amerika Syarikat itu melawat
sebuah ladang getah di sebuah rancangan Felda yang kemudiannya dinamakan
Rancangan Felda Lyndon.
Namun, katanya setelah 48 tahun, Obama pula melihat pertumbuhan pesat
Malaysia yang kini menjadi sebuah negara yang maju dan berjaya.
"Ini sesuatu yang kita boleh banggakan. Ini berlaku antara faktornya
kerana kita bukan sahaja memberi pertimbangan atas keperluan semasa
ataupun jangka pendek tetapi kita mempunyai kerajaan dan pentadbiran
yang selama ini mampu membuat perancangan jangka panjang untuk negara
kita," katanya.
Sempena lawatan bersejarah Obama selama tiga hari ke Malaysia pada 26
hingga 28 April lepas, pemimpin kedua-dua negara beriltizam meningkatkan
hubungan dua hala kepada perkongsian komprehensif dengan objektif
memperkukuh kepentingan bersama dan nilai bersama rakyat.
Bagi menandakan fasa baharu perkongsian komprehensif itu, kedua-dua
negara komited untuk memperkukuh mekanisme dialog dalam bidang utama
termasuk kerjasama politik dan diplomatik, perdagangan dan pelaburan,
pendidikan dan hubungan rakyat dengan rakyat, keselamatan dan pertahanan
serta alam sekitar, sains, teknologi dan tenaga.
Ketika berada di Malaysia, Obama diberikan sambutan rasmi permaidani
merah di Bangunan Parlimen, diraikan pada jamuan negara dan mengadakan
pertemuan dengan Najib serta menghadiri sesi perjumpaan tidak formal
dengan pemimpin muda Asia Tenggara.
Presiden AS itu juga melawat Masjid Negara di Kuala Lumpur selain
bersama-sama Najib melancarkan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global
Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya.
Malaysia merupakan hentian ketiga dalam siri lawatan Obama ke empat
negara Asia, bermula Jepun dan diikuti Korea Selatan. Hentian
terakhirnya ialah Filipina.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan