Peruncit
disaran membuat persediaan sekarang bagi pelaksanaan GST bermula April
tahun depan untuk mengelakkan masalah pada saat akhir.
KERAJAAN pada tahun lalu telah pun mengumumkan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan mula dilaksanakan dan diguna pakai di Malaysia pada 1 April tahun depan.
Walaupun hanya tinggal kurang setahun lagi sebelum ia dimulakan, banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih tidak tahu secara menyeluruh tentang pelaksanaan GST.
Rata-rata PKS sedia maklum mengenai pelaksanaan cukai itu tetapi tidak tahu tentang aplikasi sistem yang akan digunakan apabila GST bermula kelak.
Sehubungan itu, Persatuan Rangkaian Peruncit Malaysia (MRCA) meminta peruncit PKS mendapatkan maklumat secara terperinci mengenai pelaksanaan GST bagi mengelakkan kekeliruan apabila ia dilaksanakan pada 1 April 2015.
Presidennya, Nelson Kwok berkata, peruncit PKS perlu mendaftar di persatuan-persatuan peruncit dan dinasihatkan supaya tidak bergerak secara sendirian untuk mendapatkan maklumat mengenai GST.
Menurutnya, operasi perniagaan akan terganggu jika peruncit tidak tahu mengaplikasikan sistem yang akan digunakan di bawah GST.
"Mereka (PKS) perlu mengambil inisiatif dan bertanya dengan persatuan peruncit yang sedia ada serta kepada pihak penguat kuasa iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) untuk mendapatkan maklumat mengenai GST," katanya.
Nelson berkata, Kastam juga perlu aktif menganjurkan seminar untuk memberikan penerangan kepada peruncit kerana kebanyakan peniaga tidak memahami sistem GST.
"Peruncit juga tidak tahu perisian apa yang akan digunakan.
"Sekiranya sistem perisian itu (hanya) digunakan tiga bulan sebelum pelaksanaan GST, saya bimbang peruncit tidak dapat menguasai sistem itu dengan sebaiknya," katanya.
Menurutnya, peruncit sekurang-kurangnya perlu mempelajari sistem perisian baharu untuk GST itu selama enam bulan selain ia juga perlu dikuasai oleh semua pekerja sebelum 1 April 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan