Khamis, 8 Mei 2014

Perkasa bawa Kabinet ke mahkamah jika gugur ruangan ‘kaum’ dalam borang rasmi

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


Perkasa akan ambil tindakan undang-undang untuk buktikan penghapusan identiti kaum bertentengan dengan Perlembagaan, kata presidennya, Datuk Ibrahim Ali. Gambar fail The Malaysian Insider.Perkasa akan ambil tindakan undang-undang untuk buktikan penghapusan identiti kaum bertentengan dengan Perlembagaan, kata presidennya, Datuk Ibrahim Ali. Gambar fail The Malaysian Insider.






























Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) akan mengambil tindakan undang-undang jika Putrajaya berhasrat menggugurkan ruangan ‘kaum’ dalam borang rasmi kerajaan.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, berkata pertubuhan badan bukan kerajaan itu bersedia melantik dua firma guaman jika hasrat itu diteruskan dan akan membuktikan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Perkasa akan bawa perkara ini ke mahkamah untuk mohon mahkamah mengisytiharkan penghapusan identiti kaum adalah bertentangan dengan Perlembagaan.

"Kajian sedang dibuat dengan mendalam dan teliti," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ibrahim berkata, Kabinet boleh membuat apa jua keputusan tetapi tidak boleh melangar Perlembagaan.

"Perkasa akan lawan habis-habisan melalui perundangan," kata bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Lian berkata tiada peruntukan dalam Perlembagaan yang mewajibkan penggunaan kaum dalam borang rasmi kerajaan.

"Kami mahu menegaskan menyertakan perkataan kaum adalah di bawah bidang kerajaan.

"Pemuda Gerakan mencabar presiden Perkasa menyatakan peruntukan mana dalam Perlembagaan menjadikan mandatori untuk kerajaan memasukkan ruangan kaum," katanya.

Malah, Tan turut mengingatkan Perkasa agar tidak membuat dakwaan kosong berhubung perkara itu jika tidak mengetahui peruntukan tersebut.

"Pemuda Gerakan percaya pengguguran ruangan kaum dalam borang rasmi di Malaysia akan menamatkan diskriminasi kaum," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan Kabinet membuat keputusan menggugurkan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan.

Najib berkata, Kabinet sebaliknya membuat keputusan untuk mengekalkan amalan sedia ada untuk memastikan setiap kaum mendapat pertimbangan yang adil dan tidak ketinggalan dalam dasar kerajaan.

"Kenyataan itu tidak tepat, memang kita ada bincang dalam Kabinet tetapi keputusan kita adalah kekal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Umno Taiping di Taiping, Perak hari ini.

Menurut akhbar Berita Harian, Najib berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun, akan mengeluarkan kenyataan hari ini bagi memperbetul kenyataannya yang disiarkan media sebelum ini selain memohon maaf atas kesilapan itu.

Berita Harian hari ini menyiarkan kenyataan Belaun yang mendakwa ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan yang tiada nilai tambah digugurkan.

Katanya, pendekatan itu bagi memudahkan orang ramai untuk berurusan dengan kerajaan, selain dapat memupuk budaya keterangkuman dalam kalangan pelbagai kaum yang berbeza di negara ini.

"Umpamanya, borang kerajaan berkaitan kebajikan tidak memerlukan ruangan ‘kaum’ kerana setiap keputusan yang dibuat selepas itu adalah berdasarkan kepada keperluan, bukannya berasaskan kaum.

Justeru, maklumat mengenai kaum tidak diperlukan," kata Belaun seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Tiada ulasan: