MALAYSIAKINI
Panel Penyiasat Bebas Antarabangsa akan menentukan punca sebenar
kelewatan selama empat jam untuk mengaktifkan sistem menyelamat
Penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) selepas pesawat itu
hilang dari radar pada 1.21 pagi 8 March lepas.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata
panel bebas itu dianggotai pakar penerbangan dari seluruh dunia yang
diketuai bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Kok
Soo Chon.
"Biarlah badan bebas ini mengkaji dan meneliti dahulu kerana insiden
MH370 dengan Air France 447 adalah dua perkara yang berbeza.
"Seperti yang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebut, ada
benda yang Malaysia lakukan dengan baik, ada benda yang boleh kita
lakukan dengan lebih baik," katanya dalam sidang media berkaitan MH370
hari ini.
Beliau berkata jika terdapat maklum balas daripada panel bebas
berkenaan, Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan
sewajarnya.
Hishammuddin juga berkata sewaktu insiden Air France 447, masa yang
diambil syarikat penerbangan itu untuk mengaktifkan sistem menyelamat
adalah lebih lama, iaitu enam hingga tujuh jam.
Semalam, Kementerian Pengangkutan mengeluarkan laporan awal MH370, yang
turut mengandungi rakaman audio perbualan antara kokpit dan Pusat
Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur serta senarai kargo.
Hishammuddin turut menegaskan Malaysia sentiasa terbuka kepada sebarang
cadangan dan tidak mungkin menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan
kehilangan MH370.
Mengulas kandungan laporan awal MH370 yang hanya lima muka surat
berbanding laporan kes Air France 447, beliau berkata situasi yang
dihadapi adalah berbeza.
"Dalam kes Air France, kedudukan pesawat itu diketahui awal dan serpihan
pesawat juga ditemui di mana ada maklumat tambahan, jadi memanglah
laporan yang dibekalkan lebih tebal.
"Dalam kes MH370, saya dah nyatakan ia luar biasa di mana sampai hari
ini kita tidak dapat kesan di mana kapal terbang atau serpihan... tetapi
tidak bermakna kita tidak mengikuti semua petunjuk yang dipanjangkan
kepada kita," katanya.
Mengulas kunjungan beliau ke Canberra Ahad ini bagi menghadiri mesyuarat
tiga hala dengan China dan Australia, Hishammuddin berkata ia akan
merangkumi semua aspek termasuk fasa baharu kawasan pencarian dan
kewangan.
"Sebelum ini, isu kewangan dan kos tidak berbangkit namun untuk berlaku
adil kepada Australia, saya rasa sudah tiba masanya bagi China dan
Malaysia, sekurang-kurangnya, untuk membincangkan perjalanan
seterusnya," katanya.
Beliau berkata bagi fasa baharu operasi mencari MH370, Malaysia akan
mencadangkan agar beberapa pesawat canggih daripada entiti komersial
Malaysia digunakan.
Hishammuddin juga berkata Australia sudah bersedia menerima kehadiran
anggota keluarga penumpang MH370, jika mereka perlu diterbangkan ke
negara itu.
Berikut adalah kenyataan Hishammuddin mengenai operasi mencari pesawat
Malaysia Airlines Penerbangan MH370, yang beliau baca dalam sidang
akhbar di Hotel Royale Chulan hari ini.
"Hari ini adalah hari ke-56 MH370 hilang. Hakikat bahawa MH370 masih
belum dijumpai setelah lebih tujuh minggu usaha mencari dilakukan di
darat, udara dan laut membuktikan betapa sukarnya keseluruhan misi ini.
Bagaimanapun, kami tetap teguh dengan komitmen kami untuk mencari MH370
dan akan terus mempergiat usaha mencarinya.
Seperti yang dijanjikan Perdana Menteri minggu lepas, kami mengeluarkan
Laporan Awal seperti yang dihantar kepada ICAO (Pertubuhan Penerbangan
Awam Antarabangsa) berserta maklumat tambahan.
Ini konsisten dengan pendirian kami bahawa demi keterbukaan dan
ketelusan, semua maklumat yang tidak menjejaskan penyiasatan atau
operasi mencari, akan didedah kepada umum. Perlu ditegaskan bahawa
laporan yang disiar kepada umum semalam adalah suatu laporan awal. Namun
begitu seperti yang saya tegaskan sejak awal lagi, kami tidak
menyembunyikan apa-apa.
PERJUMPAAN DENGAN ANGUS HOUSTON DAN JEAN PAUL TROADEC
Awal hari ini, saya mengadakan perjumpaan dengan Ketua Marsyal Udara (B)
Angus Houston, yang mengetuai Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC)
di Perth dan menyelaras usaha mencari MH370 di selatan Lautan Hindi,
serta Jean Paul Troadec iaitu Ketua Pasukan Penyiasat Perancis bagi
pesawat Air France 447 merangkap bekas Ketua Biro Penyiasatan Nahas
Udara.
Kedatangan dua individu ini ke Kuala Lumpur adalah untuk berbincang
tentang fasa baharu dalam operasi mencari. Perjumpaan ini menjadi bukti
keterangkuman Malaysia dalam menyelaras fasa berikutnya bagi usaha
mencari 'yang tidak pernah dilakukan sebelum ini' serta mengesahkan
sekali lagi komitmen padu kami dan masyarakat antarabangsa untuk mencari
MH370.
KEMAJUAN JAWATANKUASA KECIL
Tiga jawatankuasa kecil yang diketuai tiga timbalan menteri telah
mengadakan mesyuarat dan usaha sedang dipergiat bagi mempersiapkan diri
untuk menghadapi fasa berikutnya. Izinkan saya memberi maklumat terkini
berkaitan kemajuan yang mereka capai.
i) Jawatankuasa Teknikal
Pasukan Penyiasat Antarabangsa, yang diketuai Dato Kok Soo Chon iaitu
bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan bekas Wakil
Tetap di Majlis ICAO di Montreal, telahpun memulakan siasatan berkaitan
insiden itu seperti disyaratkan dalam Terma Rujukan ICAO. Pasukan ini
telah bermesyuarat sebanyak lima kali dan kemajuan siasatan akan
dilaporkan apabila tiba masanya.
ii) Jawatankuasa Waris
Semalam, Malaysia Airlines mengumumkan ia akan membayar pampasan
pendahuluan secepat mungkin kepada waris yang berhak. Pakej pampasan ini
bertujuan memenuhi keperluan segera keluarga terbabit dari segi
kewangan.
Saya ingin menegaskan sekali lagi pendirian kerajaan seperti yang diumum
semalam oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, yang
mengetuai Jawatankuasa Kecil Waris, bahawa kami yakin dengan komitmen
Malaysia Airlines untuk membantu dan menyokong keluarga mereka yang
menaiki pesawat MH370.
Seiring dengan itu, saya juga ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan
kepada Kerajaan China atas sokongan kuat mereka dalam perkara ini. Saya
dengan sesungguh hati ingin menggesa Malaysia Airlines agar terus
berhubung dengan keluarga penumpang terbabit apabila kami memasuki fasa
baharu ini. Amat penting bagi MAS untuk memelihara dan menambah baik
platform serta saluran komunikasi yang wujud antara syarikat penerbangan
itu dan keluarga terbabit sejak lapan minggu lepas.
Anggota keluarga penumpang terbabit, di mana sahaja mereka berada, perlu
sentiasa dimaklumkan dengan segera berkaitan perkembangan penting usaha
mencari pesawat berkenaan. Kami bertanggungjawab memaklumkan mereka
tentang perkembangan yang berlaku dan menyiasat hingga ke akar umbi
insiden ini.
iii) Jawatankuasa Penggunaan Aset
Mengenai penggunaan aset, kami telah berbincang secara mendalam dengan
beberapa syarikat Malaysia iaitu Petronas, Deftech, Boustead dan Sapura
Kencana beberapa hari lepas berkaitan penggunaan aset khusus. Sistem
dalam air dan platform khusus ini termasuk Kenderaan Autonomi Tanpa
Kendalian Manusia (AUV), alat dikenali sebagai 'Deep Water Towed Side
Scan Sonar', Kenderaan Kendalian Jarak Jauh (ROV) dan kapal sokongan,
akan digerak bagi menyertai fasa baharu misi pencarian ini.
Semua entiti Malaysia yang terlibat dalam usaha ini perlu bekerja
sebagai sebuah pasukan yang membawa panji-panji Malaysia untuk mencari
MH370.
PERJALANAN KE CANBERRA
Minggu depan, saya akan mengetuai satu delegasi ke Canberra bagi
menghadiri Mesyuarat Tiga Hala Peringkat Menteri, yang akan dihoskan
rakan sejawatan kami dari Australia pada 5 Mei 2014. Mesyuarat ini akan
dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Infrastruktur dan
Industri Australia.
Saya akan diiringi ketua tiga jawatankuasa kecil terbabit iaitu Timbalan
Menteri Pertahanan, Timbalan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri
Luar serta Dato Azharuddin Abdul Rahman daripada DCA, Ahmad Jauhari
daripada MAS dan wakil kementerian berkenaan.
Delegasi China juga akan menyertai kami dalam mesyuarat itu, yang
diketuai Menteri Pengangkutan Yang Chuantang diiringi Naib Menteri
Pengangkutan He Jianzhong dan Naib Menteri Luar Xie Hangsheng serta
pegawai kanan kerajaan.
DAKWAAN BERKAITAN TELUK BENGGALA
Mengenai dakwaan berkaitan Teluk Benggala, kami bersetuju dengan
kenyataan Angus Houston bahawa ia adalah amat mustahil. Banyak petunjuk
sebelum ini terbukti negatif dan keadaan ini adalah sama seperti apa
yang kami alami sebelum ini. Walaupun tiada maklumat baharu, kami tetap
meminta negara pesisir agar mengesahkan dakwaan itu.
Ketika ini, tiga kapal Bangladesh termasuk sebuah kapal peninjau berada
di kawasan pencarian itu. Setakat ini, tiada apa yang ditemui.
PENUTUP
Dalam memasuki fasa baharu pencarian, kami mengucapkan terima kasih atas
sokongan berterusan yang kami terima daripada masyarakat antarabangsa
dan pihak berkepentingan di peringkat domestik. Kami juga terharu dengan
sokongan yang diterima dari pelbagai negara yang tampil membantu
walaupun mereka tidak menyertai fasa awal operasi SAR.
Kami akan berusaha mengatasi cabaran dalam operasi mencari fasa baharu
itu nanti, yang memerlukan aset dalam air yang mahal, canggih dan
kompleks. Seperti biasa, ingatan dan doa kami tetap bersama mereka yang
menaiki pesawat berkenaan serta keluarga mereka, dan usaha mencari akan
diteruskan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan