Isnin, 19 Mei 2014

Pengubahan wang haram jejaskan pembangunan sosio-ekonomi, kata Bank Negara

OLEH MD IZWAN


Timbalan Gabenor Negara, Datuk Muhammad Ibrahim semasa berucap di Sidang Perniagaan Serantau Perkhidmatan Wang di Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Shafiq Safiee, 19 Mei, 2014.Timbalan Gabenor Negara, Datuk Muhammad Ibrahim semasa berucap di Sidang Perniagaan Serantau Perkhidmatan Wang di Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Shafiq Safiee


Bank Negara Malaysia (BNM) bimbang aktiviti jenayah dalam perniagaan perkhidmatan wang (MSB) jika tidak ditangani bakal menjejaskan pembangunan sosio-ekonomi, selepas Malaysia mencatatkan pengaliran wang haram sebanyak RM174 bilion menurut laporan Global Financial Integrity (GFI) tahun lalu.

Berucap di Sidang Perniagaan Serantau Perkhidmatan Wang, Timbalan Gabenor BNM Datuk Muhammad Ibrahim berkata, industri tersebut memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi dan kekayaan negara.

"MSB mempunyai peranan penting dalam menyokong sistem kewangan yang inklusif dan memudahkan transaksi ekonomi yang menyumbang kepada pertumbuhan dan kekayaan," kata Muhammad di Bank Negara pagi ini.

Muhammad berkata, industri tersebut yang berasaskan kepada urusan wang tunai menyebabkan ia terdedah dengan ancaman pengubahan wang haram.

"Transaksi berasaskan wang tunai MSB, capaian global pengirim wang dan proses pengesahan pelanggan, jika tidak diuruskan dengan baik akan menyebabkan ia terdedah kepada ancaman pengubahan wang haram," kata beliau.

Beliau berkata jika risiko tersebut tidak diberikan perhatian, pembangunan sosio-ekonomi negara akan terjejas.

"Prospek jangka masa panjang industri dan sumbangannya kepada pembangunan sosio-ekonomi akan terjejas jika risikonya tidak difahami dan diuruskan secara baik," katanya.

Hampir lebih 300 pemain industri dari MSB menyertai sidang anjuran BNM hari ini yang dianjurkan bersama Bank Dunia dan Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB).

Dalam pada itu, Presiden MAMSB, Ramasamy Veeran berkata syarikat pengurup dan pengirim wang perlu dipantau memandangkan mereka secara langsung terdedah dengan aktiviti jenayah kewangan.

"Kami fokus kepada pelaksanaan sistem untuk elak aktiviti tersebut berlaku.

"Pertama kami ajar mereka proses urus tadbir, kedua kami gunakan sistem atas talian iaitu yang menepati piawaian dan boleh diaudit. Semua ini sudah berjalan," katanya.

Laporan penyelidikan anti-rasuah dan kumpulan advokasi GFI mendedahkan kira-kira RM174 billion mengalir keluar secara haram di Malaysia pada tahun 2011 iaitu tempat keempat di belakang Russia, China dan India.

GFI mendefinisikan aliran keluar wang haram sebagai pemindahan wang yang dijana menerusi aktiviti-aktiviti tidak sah seperti rasuah, aktiviti jenayah dan usaha mengelak cukai ke atas kejayaan diperoleh.

Bagaimanapun, Putrajaya memberi alasan jumlah besar tersebut adalah disebabkan oleh penentuan harga perdagangan yang salah dan bukannya kerana jenayah mahupun rasuah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low berkata status Malaysia sebagai negara keempat yang mengeksport modal haram bukan suatu yang mengejutkan kerana ia juga menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara perdagangan yang aktif di dunia.

Muhammad menggariskan tiga perkara pokok yang perlu ditekankan untuk menangani pengubahan wang haram, iaitu penguatkuasan dan pemain industri perlu mengetahui tentang risiko dalam MSB, merangka pengkuatkuasaan yang berkredibiliti serta berkesan dan mempromosikan profesionalisme dalam industri.

Tiada ulasan: