Isnin, 26 Mei 2014

Peneroka tanah haram tidak layak terima pampasan

Oleh: AFEEQA AFEERA


SERDANG: Peneroka dan pekebun kecil Parit 14 dan Parit 15, Sungai Panjang yang menjalankan pertanian secara haram di tanah berkenaan tidak akan menerima bayaran pampasan daripada Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata tanah terbabit adalah milik Kerajaan Negeri sepenuhnya yang diterokai secara haram penduduk di kawasan itu dan mereka tidak pernah membayar sebarang premium.

Abdul Khalid“Kita tidak akan membayar pampasan kepada mereka yang melakukan penerokaan tanah secara haram kerana jika berbuat demikian, kita perlu bayar kepada lebih 500,000 peneroka tanah lain.

“Kalau kita bayar, nanti Selangor penuh dengan penerokaan secara haram. Ini tanah rakyat Selangor, mereka yang kena bayar pampasan semula,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor di Universiti Putra Malaysia, di sini, semalam.

Sebelum ini, lebih 50 peneroka tanah kawasan Parit 14 dan Parit 15, Sungai Panjang berdekatan Sabak Bernam berkumpul secara aman di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), awal Mei lalu.

Peneroka-Tanah-Sungai-Panjang-2

Ia berikutan mereka membantah tindakan Kerajaan Negeri yang didakwa mengambil alih tanah yang menjadi mata pencarian keluarga mereka sejak 60 tahun lalu.

Mereka adalah sebahagian daripada 336 peneroka yang menuntut Kerajaan Negeri supaya menarik balik keputusan pengambilalihan itu, selain membenarkan mereka terus mengusahakan penanaman kelapa sawit, sawah padi dan koko di atas Tanah Hutan Simpan Sungai Karang itu.-NFN-

Tiada ulasan: