Insiden-insiden penculikan sebegini akan menjatuhkan keyakinan pelancong terhadap negara, kata Tian Chua.
Menurut Tian Chua, Parlimen sering membahaskan mengenai Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) namun sehingga kini tiada sebarang peningkatan berhubung tindakan keselamatan berlaku.
“Kita dah ulang kali menyatakan keselamatan di Sabah ini adalah satu tempat berisiko tinggi. Parlimen sudah bahas mengenai ESSCOM.
“Sepatutnya ada peningkatan dari segi tindakan kesediaan untuk menghadapi ancaman keselamatan. Malangnya kita lihat tiada langkah-langkah kecemasan tambahan untuk menjamin keselamatan.
“Saya amat khuatir jika perkara ini berulang dan boleh menjatuhkan keyakinan pelancong,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Tambah Tian Chua lagi, sektor pelancongan negara sudah terjejas akibat kehilangan pesawat MH370 Mac lalu dan menteri dan agensi bertanggungjawab perlu menjawab perkara ini secara telus tanpa perlu memberikan alasan.
Pengurus syarikat Wonderful Terrace Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mengendalikan ladang ikan warganegara China, Yang Zailin diculik di Silam, Lahad Datu pada jam 2.45 pagi tadi.
Perkara ini disahkan oleh Menteri Pelancongan Sabah Datuk Masidi Majnun.
Dipercayai bahawa kumpulan lelaki bersenjata itu telah melarikan diri ke arah selatan Filipina.
Ini merupakan kes penculikan kedua berlaku di Sabah dalam tempoh berdekatan.
Pada 2 April lalu, pelancong China Gao Hua Yuan, 29, dan seorang pekerja resort Marcy Darawan, 40, diculik dari Singamata Reef Resort di Semporna.
Kedua-duanya diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang menuntut tebusan di selatan Filipina.
Pada November tahun lepas, seorang pelancong Taiwan ditemui mati ditembak dan isterinya diculik oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian di Pulau Pom Pom, Semporna.
Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan PKR yang sedang berlangsung, Tian Chua melahirkan keyakinan bahawa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana unsur sabotaj.
“Nampak JPP dah buat keputusan yang tak sebelahi mana-mana pihak dengan batalkan keputusan atau pemilihan yang diragui.
“Saya agak dalam sebuah parti demokratik kita sentiasa terima proses memperbaiki semua aspek organisasi parti,” katanya lagi.
Pemilihan PKR kali ini dipenuhi kontroversi apabila terdapat beberapa pemilihan di beberapa cabang didakwa dimanipulasi oleh calon-calon pusat yang bertanding.
Antara nama-nama besar yang dikaitkan dengan kontroversi ini termasuklah penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang mempertahankan jawatannya menentang Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan