Kira-kira 20,000 orang yang berkumpul di empat lokasi untuk menyertai perhimpunan anti GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) 1 Mei, berhimpun di depan bangunan Sultan Abdul Samad di Jalan Raja, Kuala Lumpur.
Beberapa kumpulan mula tiba di empat lokasi pertemuan – KLCC, Sogo, Dataran Maybank dan Jalan Raja Laut sejak seawal jam 1 petang tadi.
Mereka berjalan menuju depan bangunan Sultan Abdul Samad di Jalan Raja, yang terletak bersebelahan Dataran Merdeka.
Perhimpunan anjuran gabungan 95 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dijadualkan berlangsung dari jam 2 hingga 5 petang ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan ucapan Belanjawan 2014 pada Oktober lalu mengumumkan GST akan dilaksanakan bermula April, 2015.
Perhimpunan yang diadakan serentak dengan sambutan Hari Buruh di seluruh dunia, bertemakan “Anti GST – Hingga ia digugurkan” dan ia dijangka dihadiri pemimpin pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu, di Butterworth, Pulau Pinang, kira-kira 300 orang berkumpul dalam perhimpunan anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) negeri untuk meluahkan isu yang menjejaskan pekerja dalam pelbagai industri.
Permintaan mereka ialah menggesa kerajaan menghapuskan rancangan untuk mengenakan GST, pemberian elaun sara hidup (Cola) sebanyak RM300 kepada pekerja swasta dan meningkatkan gaji minimum daripada RM900 kepada RM1,500.
Speaker di perhimpunan itu termasuk Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy; Pengerusi Bersih wilayah utara, Datuk Dr Toh Kin Woon dan Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon.
Katanya, mereka mempunyai tanggapan perhimpunan itu adalah haram kerana ada akhbar melaporkan acara hari ini tidak mendapat permit polis.
“Itu tidak benar. Akhbar yang melaporkan sedemikian tidak bertanya kepada kami. Kami mendapat permit untuk perhimpunan ini,” katanya.
Mereka pada awalnya menjangka kira-kira 5,000 orang akan datang ke acara itu.
The Malaysian Insider akan membawakan kepada pembaca perkembangan terkini secara langsung perhimpunan 1 Mei di Kuala Lumpur.
PERKEMBANGAN TERKINI:
12.40pm: Walaupun orang ramai mula berkumpul di empat lokasi pertemuan, situasi tenang. Polis trafik mengawal perjalanan trafik.
12.53pm, KLCC: Polis memasang halangan di depan dewan Filharmonik Petronas untuk mengawal kawasan itu. Sekumpulan anggota polis berkawal di pintu masuk pejabat Petronas. Orang awam tidak dibenarkan masuk ke kawasan berhalangan.
1pm, KLCC: Kira-kira 30 mahasiswa tiba, melaungkan slogan anti GST dan anti Najib. Sekumpulan kira-kira 100 orang berkumpul di sana, berpakaian merah dan hitam bersama skaf anti GST. Ramai yang membawa bendera slogan anti GST dan ahli Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
1pm, KLCC: Kelihatan pemimpin SAMM, Che Gu Bard mengetuai penyokong yang berkumpul di situ. Beliau memberikan arahan menggunakan pembesar suara dari kenderaan pacuan empat rodanya. Semakin ramai yang datang dan kumpulan makin besar.
1.15pm, Jalan Tuanku Abdul Rahman: Kira-kira 3,000 orang berjalan dari Sogo menuju ke Dataran Merdeka.
1.20pm, KLCC: Sekumpulan lagi ahli SAMM baru tiba dan menyertai kumpulan di depan pintu masuk KLCC.
1.23pm, Sogo: Kira-kira 2,000 penyokong berkumpul di depan Sogo sambil ada yang melaungkan slogan GST bangsat.
1.41pm, KLCC: Orang ramai yang duduk di depan KLCC dihiburkan dengan lagu yang didendangkan oleh seorang lelaki.
2pm, Sogo: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mula menyampaikan ucapan. Beliau beri amaran penyokong jangan pijak rumput di Dataran Merdeka.
Orang ramai mula melaungkan slogan “Undur Najib, letak jawatan”, “Bantah GST”, “Hidup rakyat”.
Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar akan mengetuai kumpulan berarak dari Sogo ke Dataran Merdeka.
Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad memberikan ucapan dan berkata keputusan Mahkamah Rayuan minggu lalu mengiktiraf perhimpunan aman. Katanya, rakyat mahu menyampaikan mesej jelas kepada kerajaan, rakyat menolak GST.
2.02pm, KLCC: Kira-kira 300 orang berkumpul di depan KLCC.
2.08pm, Sogo: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dalam ucapannya berkata, rakyat letih apabila kerajaan menyebabkan rakyat semakin susah. Tolak Umno BN, tolak GST, katanya.
2.09pm, KLCC: Datuk Ambiga Sreenevasan mengetuai laungan “Bersih, Bersih. Hidup rakyat, bantah GST”.
2.09pm, Sogo: Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dalam ucapannya berkata, perhimpunan hari ini adalah hak rakyat untuk menolak kezaliman kerajaan Barisan Nasional. Katanya, kerajaan hanya mahu membebankan rakyat miskin dan pertengahan dengan GST sementara negara lain mengenakan cukai kepada golongan kaya sahaja.
2.18pm, Masjid Negara: Orang ramai mula berarak melaungkan slogan “Reformasi, tolak GST”.
2.19pm, Sogo: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob dalam ucapannya berkata, perhimpunan hari ini untuk mempertahankan rakyat kerana Umno BN gagal berbuat demikian.
2.20pm, Sogo: Kumpulan penyokong dari Sogo mula bergerak ke Jalan Raja.
2.30pm, Masjid Negara: Kira-kira 5,000 penyokong berjalan ke Jalan Raja untuk menyertai perhimpunan. Trafik sesak di depan Masjid Negara. Unit Amal PAS sedang memberikan arahan kepada orang ramai.
2.34pm, KLCC: Penyokong mula bergerak meninggalkan KLCC dan menuju ke Jalan Raja.
2.59pm, Masjid Negara: Kumpulan diketuai Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Mohamed Azmin Ali, Khalid Samad, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.
3.03pm, Bangunan Sultan Abdul Samad: Kumpulan dari Sogo tiba di lokasi perhimpunan. Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam ucapannya berkata, wanita yang paling terkesan dengan kenaikan harga barang kerana golongan itu yang banyak membeli barang di pasar.
3.08pm, Dataran Merdeka: Timbalan Presiden PKR dan Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali berkata perhimpunan hari ini menampakkan peserta pelbagai bangsa dan umur bangkit menentang kerajaan BN.
3.25pm, Dataran Merdeka: Aktivis pelajar Adam Ali berkata perhimpunan Bersih dan bantah Lynas dibenarkan masuk Dataran Merdeka.
3.40pm, Dataran Merdeka: Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mendakwa Putrajaya menggunakan duit rakyat untuk memperkayakan kroni. Beliau menyelar pemilikan kapal selam Scorpene yang disifatkan “tidak berguna” kerana tidak dapat membantu dalam pencarian penerbangan MH370.
3.45pm, Dataran Merdeka: Nurul kepada Najib: “Anda adalah perdana menteri minoriti, cuba mula dengar pendapat rakyat.”
3.51pm, Dataran Merdeka: Sebahagian daripada himpunan bersurai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan