Mustafa Ali  
Mustafa Ali
 
GEORGETOWN - Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata calon bebas pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar adalah bukan ahli Pas dan tidak pernah menjadi ahli parti itu.

"Dia (Mohamed Nabi Bux) bukan ahli Pas...bukan ahli Pas sejak dari peringkat awal. Keahliannya tiada dalam rekod," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ditanya mengenai sijil keahlian Pas yang dimiliki Mohamed Nabi Bux serta 58 anggota Pas Gombak yang mempunyai sijil sama, Mustafa berkata: "Itu semua tidak betul".

Isu kesahihan keanggotaan Mohamed Nabi Bux di dalam Pas mula diperkatakan sejak beliau menawarkan diri untuk bertanding pada PRK Parlimen Bukit Gelugor dan berhasrat melaksanakan hukum hudud di Pulau Pinang menjelang 2020.

Sementara itu, Mohamed Nabi Bux tetap bertegas bahawa beliau adalah ahli Pas Gombak yang sah dan sijil keanggotaannya bukan palsu.

Sehubungan itu, calon Bebas yang menggunakan simbol bunga itu mahu pemimpin Pas tampil dan menemuinya bagi membuktikan bahawa beliau bukan ahli parti itu yang sah.

"Mereka (pemimpin Pas Pusat) kata nama saya tidak ada dalam senarai Pas Pusat, hari ini saya nak jelaskan bahawa bahawa saya memang ahli Pas Gombak, buktinya Pas Gombak telah beri sijil yang ditandatangani oleh setiausaha parti ketika itu Ustaz Radzi Yusof.

Kalau mereka masih nak nafikan, suruh pemimpin-pemimpin tertinggi itu jumpa saya dan buktikan bahawa saya bukan ahli parti dan bagaimana pula dengan 58 ahli parti Pas di Gombak yang mempunyai sijil akuan sama seperti saya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru, Air Itam di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau ada menerima surat pemecatan daripada Pas selepas menjadi calon Bebas pada PRK Parlimen Bukit Gelugor, Mohamed Nabi Bux berkata, sehingga hari ini tiada pemimpin Pas Pusat atau bahagian Gombak  menghantar surat pemecatannya, apatah lagi menghubunginya dan mereka hanya berani bercakap kepada media.

Pada pilihan raya kecil 25 Mei ini Mohamed Nabi Bux akan berhadapan Ramkarpal Singh Deo daripada DAP dan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan serta seorang calon Bebas, Abu Backer Sidek Mohamad Zan.

Pada PRU13, Karpal Singh memenangi kerusi itu dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon Barisan Nasional Teh Beng Yeam yang memperoleh 13,597 undi. - Bernama