TARIKH 8 Mac 2014 pasti menjadi ingatan seluruh dunia terutama Malaysia apabila pesawat Boeing 777 milik MAS yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada dikesan radar dan masih gagal ditemui sehingga ke hari ini.
Insiden itu dianggap sebagai situasi luar jangka, selain ahli keluarga individu yang paling terkesan dalam tragedi MH370 adalah Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Setelah lebih dua bulan usaha mencari pesawat MH370 digerakkan, masih belum ada sebarang bukti kukuh seperti serpihan pesawat ditemui. Pencarian MH370 bakal tercatat dalam rekod dunia apabila melibatkan 26 buah negara dengan jumlah aset terbesar.
Ikuti sambungan temubual bersama individu penting dalam misi pencarian MH370 ini.
Susulan ketiadaan sebarang bukti dijumpai untuk mengaitkan MH370, ada pihak mengatakan kemungkinan kawasan pencarian kita adalah salah, bagaimana pendirian Datuk Seri?
Keputusan kita bersandarkan kepada nasihat dikeluarkan Inmarsat melalui data mereka sebelum ini.
Kita tidak dapat mengkaji sedalamnya mengenai data asal itu kerana ia berada pada tangan Inmarsat.
Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan pakar terutama dari Australia kita masih percaya pada penemuan data bahawa lokasi terakhir itu di Selatan Lautan Hindi dan kedua berdasarkan isyarat lima bunyi ‘ping’ yang dijumpai.
Setakat ini, dua lokasi isyarat ‘ping’ yang dikesan telah melakukan pencarian di situ sepenuhnya dan masih berbaki tiga lagi lokasi itu akan digerakkan dalam fasa yang baru ini.
Dalam fasa baru ini Malaysia, China dan Australia melihat sebarang maklumat terkini hasil penyelidikan pihak berkuasa dan pakar.
Banyak pihak tertanya-tanya memandangkan Datuk Seri adalah pemangku Menteri Pengangkutan dan ada khabar angin mengatakan akan ada pengganti dalam masa terdekat, bagaimana isu MH370 akan diuruskan?
Saya masih di sini atas kepercayaan yang diberikan. Sejauh mana perjalanan misi pencarian ini masih berada pada bahu saya, malah saya rasa seluruh dunia melihat saya sebagai Menteri MH370. Justeru itu saya tidak rasa saya dapat lari dari tanggungjawab yang sedang digalas ketika ini.
Saya gembira sebab diberi peluang bekerjasama dengan timbalan menteri daripada beberapa kementerian.
Sejak kehilangan MH370 banyak spekulasi dan perkara dibangkitkan sebelum ini, satu demi satu perkara cuba dibongkarkan, bagaimana kerajaan menangani perkara itu?
Setiap hari ada sahaja isu berbangkit, sebelum ini soal transponder, juruterbang, kemudian perbualan antara menara kawalan membawa kepada soal gambar satelit.
Perkara ini tidak akan habis dibangkitkan. Saya ingin ingatkan orang ramai, setiap penemuan baharu yang kita akan siasat.
Kalau kita nak layan semua semua spekulasi termasuk ‘tikar terbang’ yang menjadi cakap-cakap orang ramai itu, kita tidak dapat maju ke hadapan.
Jika kita media dalam konteks media asing, hari ini adakah mereka sebut lagi soal MH370? Tiada, mereka kini lebih berminat pada feri di Korea, isu di Nigeria.
Tetapi perasaan keluarga sesuatu perlu kita tangani, kalau rating menjadi pertimbangan, itu bezanya media Malaysia dengan barat yang lebih kepada tarikan rating tanpa hiraukan perasaan keluarga terlibat dan operasi yang boleh terjejas.
Contoh, dakwaan di Teluk Benggala, kita tidak boleh terburu-buru menggerakkan aset ke sana hanya kerana mahu melayan spekulasi itu, banyak perkara perlu di fikirkan dari segi pengalihan aset dan sebagainya. Sehubungan itu kami konsisten sejak daripada awal supaya setiap tindakan yang ingin dilakukan bertanggungjawab.
Adakah kerajaan terfikir mengkaji semula berhubung kawalan penerbangan awam serta ketenteraan bagi memudahkan pengesanan di kemudian hari?
Dalam situasi yang berlaku, bukan hanya Malaysia sahaja yang tidak mengguna pakai radar yang sama dengan pesawat awam dan tentera malah negara lain juga. Jadi seluruh dunia perlu duduk memikirkan perkara ini bagi mencari jalan terbaik agar perkara sama tidak berulang.
Kerajaan telah mengambil langkah baharu dengan meminta bantuan daripada pihak komersial dalam menyumbangkan aset mereka, sejauh mana perkara itu dilakukan?
Seperti sedia maklum, kita berunding dengan Petronas, Deftech, Sapura Kenchan dan Bousted, kita akan mempertingkatkan lagi usaha mendapatkan penglibatan negara luar seperti China dan Jepun. Tumpuan kini daripada syarikat galian gas dan minyak.
Kita telah mengenal pasti beberapa aset baharu dan perkara itu akan dimuktamad dalam jawatankuasa aset di bawah pemantauan Datuk Abdul Rahim ( Timbalan Menteri Pertahanan).
Difahamkan terdapat pihak ketiga dari China bersedia membantu misi pencarian fasa baru ini, perkara itu akan dibincangkan dalam lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dua minggu lagi.
Bagaimana cadangan untuk menaik taraf radar ketenteraan Malaysia?
Suka atau tidak, kita perlu menaik taraf radar ketenteraan kita, setelah mengetepikan kepentingan keselamatan negara kita terpaksa mendedahkan keadaan ‘air turn back’.
Keadaan itu bermakna kita telah mendedahkan keupayaan radar kita, sehubungan itu perlu kita naik taraf radar ketenteraan. Perkara ini sedang diperhalusi, kerana ketika ini seluruh negara telah mengetahui keupayaan kita.
MAS antara pihak paling terkesan, apakah yang perlu dilakukan dalam situasi semasa?
Kita mesti memberi keyakinan kepada kakitangan MAS, kerana mereka tidak berdosa dalam isu ini. MAS juga perlu sedar kerajaan tidak bertanggungjawab dalam semua hal terutama berhubung ahli keluarga dan mengotakan janji mereka. Ambil perhatian isu ahli keluarga penumpang dan kru terlibat. Banyak perkara kerajaan bantu dan hanya itu kita minta daripada mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan