Jumaat, 16 Mei 2014

Malaysia lulus fasa transisi operasi mencari MH370, kata Hishammuddin

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Kerajaan Malaysia meluluskan fasa transisi yang memberi keutamaan terhadap pencarian di laut dalam bagi mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan menggantung operasi mencari melalui udara dan permukaan laut.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar) berkata kelulusan Kabinet itu diterima selepas beliau memberi taklimat kepada mereka tentang hasil Mesyuarat Tiga Pihak Peringkat Menteri antara Malaysia, Australia dan China di Canberra minggu lepas.

"Saya beri taklimat kepada Kabinet Malaysia semalam tentang hasil mesyuarat berkenaan dan ia dibincangkan. Sekarang, saya mempunyai mandat untuk mengumumkan bahawa butiran lanjut tentang fasa transisi itu diluluskan," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata fasa transisi itu menggarsikan tiga keutamaan.

"Pertama, untuk menganalisis semula semua data bagi mengesahkan kawasan pencarian yang lebih tepat. Analisis ini akan dilakukan sekumpulan pakar bersama Inmarsat.

"Kedua, melakukan kaji selidik 'bathymetric' yang melibatkan pemetaan secara menyeluruh keadaan dasar laut dan ketiga, untuk menjalankan operasi mencari dengan mengenal pasti dan menggunakan kenderaan yang ditunda serta dalam air yang sesuai dengan keadaan rupa bumi," katanya.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, berkata: "Kaji selidik bathymetric dan pencarian di laut dalam perlu dilakukan secara berterusan."

Katanya mesyuarat Kabinet juga bersetuju untuk mengadakan persidangan mingguan melalui telekonferensi antara wakil tiga negara terbabit bagi membincangkan perkembangan terkini tentang operasi mencari.

Mengenai pengeluaran data satelit mentah Inmarsat, Hishammuddin mengulangi kenyataan ketua Pusat Penyelasaran Agensi Bersama (JACC) Angus Houston bahawa data mentah itu tiidak berada di tangan MAS, Malaysia atau Australia.

"Oleh itu, sebarang maklumat yang perlu disahkan atau didedahkan, hanya boleh diumumkan oleh Inmarsat," katanya.

Hishammuddin berkata Kabinet juga bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Komunikasi, Penyelarasan dan Media Khas, yang akan diterajui Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Jawatankuasa ini akan memberi fokus terhadap tugas menyelaras dan meningkatkan keberkesanan komunikasi antara tiga negara terbabit, keluarga mereka yang menaiki pesawat MH370 dan pemegang kepentingan lain yang berkaitan.

"Ini adalah untuk memastikan maklumat dapat dikeluarkan tepat pada masanya dan telus, sejajar dengan usaha kami untuk menambah baik komunikasi berhubung kejadian ini," kata Hishammuddin.

Sebelaum ini, Malaysia menubuhkan tiga jawatankuasa peringkat menteri iaitu Jawatankuasa Waris, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Penggunaan Aset untuk menyelaras usaha mencari.

Hishammuddin berkata oleh kerana proses membincangkan perkara terperinci berkaitan operasi ini dijangka berterusan selama satu atau dua bulan lagi, maka Malaysia menempatkan satu pasukan khas di Canberra, yang turut dianggotai para wakil dari semua jawatankausa untuk mewakili negara ini dalam tempoh itu.

"Pasukan khas ini akan menyelaras semua aspek berkaitan operasi antara Malaysia dan Australia. Pasukan ini akan dianggotai pegawai kanan dari empat jawatankausa peringkat menteri berkenaan," katanya.

Menurut beliau Laksamana Pertama Hanafiah Hassan dan Kol Hassan Lokman akan mewakili Jawatankuasa Penggunaan Aset untuk membincangkan aspek berkaitan pemerolehan aset.

"Kapt Meor Mohamad Nor Badrishah daripada Jabatan Penerbangan Awam akan mewakili Jawatankuasa Teknikal untuk berbincang tentang analisis data mengenai perkara berkaitan penyiasatan, manakala Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia Datuk Zainal Abidin Ahmad akan mewakili Jawatankuasa Waris untuk berbincang tentang aspek berkaitan pengurusan waris.

"Dua pegawai daripada Jawatankuasa Komunikasi, Penyelarasan dan Media yang baru ditubuhkan, akan ditempatkan dalam pasukan hal ehwal media," katanya. – Bernama

Tiada ulasan: