PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan rayuan bekas setiausaha politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hasbie Satar, untuk mendapatkan butiran secara spesifik terhadap pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM2.13 juta terhadapnya.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azahar Mohamed sebulat suara membenarkan bantahan awal Timbalan Pendakwa Raya, Anselm Charles Fernandis atas alasan perkara yang dipohon tidak boleh dirayu.

Hasbie, 41, merupakan bekas setiausaha politik kepada bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Dia membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 19 Jun 2012 menolak permohonan untuk semakan keputusan Mahkamah Sesyen Butterworth menafikan permohonannya untuk mendapatkan secara spesifik butiran berhubung tuduhan terhadapnya.

Dalam keputusannya, Azahar berkata keputusan Mahkamah Tinggi tidak boleh dirayu di Mahkamah Rayuan mengikut tafsiran Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 kerana keputusan itu tidak akhirnya melupuskan hak Hasbie.

Hakim itu juga menolak permohonan lisan peguam Hasbie, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan perbicaraan yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen sehingga selesai rayuan mengenai perkara itu di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Azahar meminta Muhammad Shafee memfailkan secara rasmi permohonan penangguhan itu.

Dua lagi anggota panel hakim yang lain ialah Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.

Berikutan keputusan itu, perbicaraan terhadap Hasbie akan disambung semula di Mahkamah Sesyen Butterworth seperti ditetapkan, Isnin ini.

Hasbie didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 11 Feb 2011 atas tuduhan terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram iaitu memiliki wang RM2.13 juta yang merupakan hasil aktiviti haram pada 11 Feb 2010 di Pangsapuri Sri Molek, Jalan Laksamana, Teluk Air Tawar, Butterworth.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya. - Bernama