Jumaat, 2 Mei 2014

K'jaan pusat, K'tan tubuh JK teknikal bincang hudud

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan pusat hari ini mengadakan pertemuan dan perbincangan rasmi dengan kerajaan negeri Kelantan berhubung isu pelaksanaan undang-undang jenayah Islam (hudud) dinegeri itu.

Kerajaan diwakili oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, manakala Kelantan diwakili Timbalan Menteri Besarnya Datuk Nik Amar Abdullah.

Pertemuan selama lebih dua jam itu antara lain bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal di peringkat pusat yang dianggotai wakil daripada kerajaan negeri Kelantan, kerajaan persekutuan dan PAS.

"Jawatankuasa ini untuk menghadam peruntukan (undang-undang) yang sedia, langkah-langkah untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam dilaksanakan dengan mengambil kira dari sudut kebijaksanaan dan keadilan kepada umat Islam.

"Dan mengambil kira tuntutan perlembagaan dan masyarakat bukan Islam di Malaysia supaya keindahan undang-undang jenayah Islam dapat dititik permulaan yang baik, bukan jadi tohmahan," katanya dalam sidang media di ibunegara petang ini.

Ditanya mengenai keseriusan kerajaan persekutuan untuk menyokong rang undang-undang persendirian daripada kerajaan negeri Kelantan, Jamil berkata:

"Saya tak tahulah kalau (perbincangan) ini tidak dilihat sebagai serius," katanya.

Ditanya mengenai sokongan MP Umno terhadap rang undang-undang itu, Jamil berkata:

"Jawatankuasa teknikal itu akan mengambil kira semua itu. Bila kita sebut sedia bersama, inilah tanda keseriusan dan tanda untuk mengambil langkah-langkah berikutnta seperti penerangan (mengenainya) kepada ahli-ahli parlimen dan perkembangannya kepada masyarakat.

"Bagi masa kepada jawatankuasa ini termasuk syor-syor, nasihat dan pandangan termasuk menyampaikan apa yang sepatutnya dan apa sebenarnya yang dikatakan undang-undang jenayah Islam," katanya.

Jamil yang juga ahli Parlimen Jerai berkata setakat ini jawatankuasa itu masih belum diberi nama tetapi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilantik sebagai urusetia dan kerajaan negeri dan PAS pusat akan mencadangkan anggota mereka dalam jawatankuasa itu.

"Kalau boleh kita nak orang (pakar) teknikal sendiri. Kalau masuk orang politik, nanti buah fikiran lebih menjurus kepada soal politik semata-mata.

"Selepas ini ia akan dibawa kepada jawatankuasa pusat yang dianggotai oleh orang politik untuk memberi pandangan mereka," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas tindakan MCA yang mahu menghalang PAS membentang rang undang-undang itu di Parlimen.

"Tak apalah, kamu (wartawan) jangan negatif sangat. Kita dah buat jawatankuasa. Kita serius," katanya.

Sementara itu, menyifatkan perbincangan dengan kerajaan pusat sebagai "positif" Nik Amar yang turut hadir dalam sidang media itu berkata kehadirannya hari ini untuk menyatakan secara rasmi hasrat dan cadangan kerajaan negeri untuk melaksanakan undang-undang jenayah itu.

"Kerajaan pusat berhasrat untuk mewujudkan jawatankuasa teknikal di peringkat kebangsaan maka kami menyambut baik dan mudah-mudahan ia dapat membantu pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Kelantan," katanya.

Nik Amar juga berkata pihaknya juga telah menjelaskan hasrat mereka kepada rakan komponen Pakatan Rakyat PKR dan DAP dan parti Islam itu berpuashati dengan penjelasan mereka.

Tiada ulasan: