Sabtu, 3 Mei 2014

Khalid Tidak Mahu Menang Timbalan Presiden PKR

shahbudindotcom


Apabila Khalid Ibrahim secara tiba-tiba mengumumkan beliau tidak mahu lagi dipilih sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal ketiga dan hanya akan menghabiskan penggalnya sehingga pilihanraya umum akan datang, ramai yang memuji tindakannya itu.

Beliau disifatkan sebagai pemimpin yang tidak tamak dengan jawatan walaupun sepanjang berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor sejak 2008, pelbagai pencapaian cemerlang seperti berjimat-cermat dan meningkatkan tabungan kewangan negeri tetapi melaksanakan banyak program kebajikan untuk rakyat adalah sesuatu yang amat membanggakan dan sukar dilakukan oleh pemimpin sebelumnya.

Tetapi apabila beliau membuat pengumuman tidak mahu meneruskan lagi khidmatnya sedangkan pertandingan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR sedang berjalan, tentulah ia merupakan signal "mengibarkan bendera putih" yang jelas dan tidak disangsikan lagi.

Berdasarkan keputusan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR sehingga 27 April lalu yang menyaksikan Azmin mendahului jauh di depan dengan Saifuddin Nasution di tempat kedua dan Khalid di tempat ketiga, pengumuman tidak mahu menyambung khidmat sebagai Menteri Besar Selangor bukanlah suatu khabar gembira bagi kem beliau sebenarnya.

Dengan pengumuman itu, tentulah sukar bagi ahli yang belum mengundi untuk memberikan undi mereka kepada Khalid. Beliau akan dilihat sebagai calon yang sudah tiada masa depan lagi.

Lebih-lebih lagi Khalid juga memberi bayangan agar pemimpin yang lebih muda diberi peluang sama ada dalam politik mahu pun negara.

Keadaan ini juga meletakkan Azmin Ali semakin berpeluang cerah mempertahankan jawatan Timbalan Presiden yang disandangnya sekarang. Berbanding Saifuddin, Azmin lebih dilihat mempunyai hubungan akrab dengan Anwar yang masih merupakan simbol dalam perjuangan PKR sejak parti itu ditubuhkan.

Dalam masa yang sama, dengan pengumuman Khalid mahu mengundurkan diri itu, tidak syak juga peluang Azmin menjadi semakin cerah untuk mengambil alih tempatnya itu sekiranya Pakatan Rakyat terus menguasai Selangor nanti.

Satu-satunya halangan yang mungkin merencatkan peluang Azmin menjadi Menteri Besar Selangor hanyalah sekiranya dalam pilihanraya umum ke 14 nanti jumlah kerusi yang dimenangi oleh Pas jauh lebih banyak daripada PKR. Namun sekiranya Pas hanya mempunyai kelebihan satu atau dua kerusi saja, Azmin masih lagi berpeluang menduduki kerusi itu melalui sokongan yang diberikan oleh DAP.

Kecuali Pas benar-benar mempunyai calon-calon yang benar berwibawa dan berkebolehan, barulah peluang mereka untuk mengambil alih kerusi Menteri Besar itu menjadi cerah dan boleh menjelmakan sokongan daripada DAP sepertimana dalam kes di Perak dahulu. Jika tidak, DAP jauh lebih selesa memberikan sokongan kepada PKR untuk terus menduduki kerusi Menteri Besar itu.

Secara umumnya pengumuman Khalid tidak mahu menyambung khidmatnya lagi dan hanya mahu dikenang sebagai seorang yang berkhidmat kepada rakyat benar-benar merupakan khabar gembira bagi kem Azmin. Khalid seolah-olah sudah mengaku kalah dan tidak lagi dilihat sebagai pemimpin yang masih punya potensi dalam perjuangan seterusnya.

Dalam hal ini Khalid mungkin ingin bersikap jujur terhadap diri, para penyokong dan pengundi yang mahu memilihnya tetapi kadang-kadang terlalu jujur juga tidak semestinya membuahkan hasil yang baik.

Begitu banyak pejuang-pejuang politik yang dapat naik lebih kerana kelicikan, tipu muslihat dan tidak berlaku jujur. Dalam hal ini benarlah kata sesetengah orang yang mengenali Khalid, beliau hanyalah pentadbir yang baik tetapi bukan ahli politik yang baik.

Tiada ulasan: