Isnin, 26 Mei 2014

Kes saman Nurul Izzah terhadap Utusan ditetapkan untuk mediasi 2 Julai

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah bersama calon DAP bagi Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud di Menara Condong hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 26 Mei, 2014. Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah bersama calon DAP bagi Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud di Menara Condong hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.  



Kes saman fitnah anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar terhadap Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Aziz Ishak dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad ditetapkan untuk mediasi pada 2 Julai depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Azhana Mohd Khairuddin yang mewakili Nurul Izzah dan peguam Nor Hazira Abu Haiyan mewakili Aziz dan Utusan.

Azhana ketika ditemui pemberita berkata mediasi itu akan didengarkan di hadapan Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim pada tarikh berkenaan.

Beliau berkata sekiranya kedua-dua pihak berkenaan gagal mencapai penyelesaian, mahkamah menetapkan dua hari bermula 21 Ogos depan untuk perbicaraan kes saman itu.

Pada 23 Nov 2012, Nurul Izzah selaku plaintif memfailkan saman tersebut dengan mendakwa Aziz dan Utusan, sebagai defendan pertama dan kedua, memutarbelitkan kenyataannya dalam forum mengenai kebebasan beragama untuk orang Melayu.

Menerusi pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR, mendakwa empat artikel yang mengandungi perkataan fitnah terhadapnya itu diterbitkan akhbar Utusan Malaysia pada 5 dan 7 Nov 2012.

Beliau memohon perintah supaya kedua-dua defendan memohon maaf dan menarik balik tuduhan fitnah terhadapnya dalam masa 24 jam dari tarikh perintah itu, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau dan kos difikirkan sesuai oleh mahkamah. – Bernama

Tiada ulasan: