MH370


KUALA LUMPUR - Waris penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang, akan diterbangkan ke Perth sebaik sahaja sebarang serpihan berkaitan pesawat itu dikenal pasti dan disahkan.
  
Menurut kenyataan rasmi berhubung Mesyuarat Tiga Pihak di Canberra, Australia, yang dihantar kepada Bernama, menteri-menteri yang turut serta dalam mesyuarat itu telah bersetuju, antara lain bahawa MAS akan bertanggungjawab bagi urusan perjalanan itu.
  
"Syarikat penerbangan itu juga akan bertanggungjawab bagi keperluan mereka untuk perjalanan itu, termasuk penerbangan, penginapan, pengangkutan dan bantua keluarga," katanya.
  
Perkara itu, antara lain, dipersetujui dalam Mesyuarat Tiga Pihak dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss di Canberra, pada Isnin pagi sebagai sebahagian daripada program yang telah dipersetujui untuk waris.
  
Mesyuarat itu turut disertai Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pengangkutan China Yang Chuantang. Menteri berkenaan juga bersetuju bahawa Australia menyediakan bantuan dan maklumat kepada waris, dari segi syarat kemasukan untuk memastikan perjalanan mereka untuk masuk dan keluar Australia berjalan lancar.
  
China juga akan secara aktif mempermudah dan membantu dalam hal ehwal berkaitan waris warga China, menurut kenyataan itu.
 
Terdahulu, Truss dalam sidang akhbar selepas mesyuarat itu, menjelaskan pencarian kini akan dipergiat di dasar laut selatan Lautan Hindi termasuk untuk memetakan kawasan pencarian.
   
Beliau berkata, langkah itu perlu selepas kegagalan mengesan sebarang serpihan pesawat yang hilang itu melalui usaha mencari dari udara, di permukaan air dan dalam air sejak 59 hari lalu.
  
Truss  berkata, pemetaan demografi lautan dijangka mengambil masa enam minggu, kerana sebahagian besar kawasan itu tidak pernah dibuat pemetaan sebelum ini.  - Bernama