Sebahagian pekerja kilang menuntut pampasan dijanjikan majikan sebelum mereka diberhentikan sejak 2001 lalu.
KOTA BHARU - Seramai 45 bekas pekerja sebuah kilang di sini, menuntut majikan bayar pampasan berjumlah RM4,500 setiap seorang, yang didakwa dijanjikan sebelum mereka diberhentikan sejak 13 tahun lalu.
Seorang bekas pekerja kilang terbabit, Norizan Jusoh, 52, berkata, sehingga kini janji tersebut masih gagal ditunaikan walaupun kes tersebut telah dibawa pihak kesatuan pekerja ke peringkat atasan.
“Mengikut perjanjian, selepas kami diberikan surat berhenti, mereka akan membayar pampasan kepada 45 pekerja terlibat. Tiada alasan diberikan majikan berhubung penamatan perkhidmatan kami.
“Pada mulanya kami bingung memikirkan hal ini kerana rezeki kami hanya bergantung kepada wang yang diperoleh daripada hasil pekerjaan di kilang berkenaan,” katanya pada sidang media di Kedai Buluh, di sini, semalam.
Norizan mendakwa, selepas 13 tahun menunggu, ada bekas pekerja yang telah meninggal dunia akibat sakit tua.
Sementara itu, Abdullah Salleh, 72, yang bekerja sebagai bekas pemandu di kilang itu berkata, dia hairan apabila majikannya ambil pekerja baharu dengan upah RM10 sehari melalui kontrak selepas mereka yang bekerja sepenuh masa diberhentikan.
"Tindakannya itu menimbulkan tanda tanya dan mengecewakan kami. Justeru, kami berkumpul di sini hari ini (semalam) untuk tuntut hak kami dan berharap nasib kami dapat dibela memandangkan ramai antara kami makin uzur dan sakit,” katanya.
Seorang lagi bekas pekerja kilang terbabit, Hasnah Abdullah, 60, berkata, dia kecewa dengan tindakan majikannya itu.
“Kami minta agar wang pampasan seperti dijanjikan dibayar. Kami sudah penat untuk ke sana ke mari membawa perkara ini ke peringkat atasan tetapi tiada penyelesaian," katanya.
Sementara itu, Sinar Harian cuba mendapatkan pihak kesatuan pekerja yang mengetengahkan isu tersebut tetapi mereka gagal dihubungi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan