Jumaat, 16 Mei 2014

Jika Ahmad Said tidak ditukar, BN tumbang lebih cepat di Terengganu, kata PAS

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat mendedahkan Datuk Seri Ahmad Said turut memberi layanan buruk kepada PAS apabila secara terbuka berazam menjadikan Terengganu kawasan ‘sifar PAS’. – Gambar fail The Malaysian Insider, 16 Mei, 2014. Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat mendedahkan Datuk Seri Ahmad Said turut memberi layanan buruk kepada PAS apabila secara terbuka berazam menjadikan Terengganu kawasan ‘sifar PAS’. – Gambar fail The Malaysian Insider,


PAS Terengganu menyifatkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menukar kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri itu adalah wajar memandangkan sikap bekas menteri besarnya Datuk Seri Ahmad Said yang dikenali sebagai seorang beremosi, gopoh, dan kasar, kata Pesuruhjaya PAS negeri, Satiful Bahri Mamat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka itu memberitahu The Malaysian Insider, PAS sudah mendengar ura-ura pertukaran Ahmad dan tidak terkejut apabila beliau digantikan dengan Datuk Ahmad Razif Abd Rahman, memandangkan Barisan Nasional (BN) bakal menanggung risiko kekalahan lebih besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika Ahmad masih menerajui pucuk kepimpinan negeri itu.

"Munasabah kalau beliau ditukar ... kalau mereka kekalkan Ahmad, kejatuhan kerajaan BN dalam PRU14 mungkin lebih cepat," katanya dalam temubual eksklusif di Ibu Pejabat PAS Kuala Terengganu, Terengganu semalam.

"Kita tidak terkejut (Ahmad ditukar) kerana PAS menjangkakan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), prestasi kepimpinan Ahmad gagal di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). Kemenangan PAS dan PKR yang mencecah hampir separuh,  hampir berjaya menumbangkan kerajaan beliau," katanya.

Satiful juga berkata, Ahmad turut memberikan layanan buruk kepada PAS  apabila beliau secara terbuka berazam menjadikan Terengganu kawasan "sifar PAS", sedangkan ketika pemilihan Umno lalu, kebanyakan kepimpinan akar umbi yang bersama Ahmad dilihat gagal mempertahankan kedudukan mereka.

"Kadang-kadang beliau ikut emosi, perbincangan sering bertelagah, sikap gopoh dan kasar yang terlalu ikut emosi.

"Hasrat beliau mensifarkan PAS itu gagal. Dulu beliau berazam PAS sifar, malah serangan beliau terhadap PAS sungguh luar biasa berbanding kepimpinan sebelum ini.

"Sebagai menteri besar, beliau adalah menteri besar Terengganu, untuk rakyat Terengganu, bukan untuk Umno sahaja, namun kadang kala berlakunya diskriminasi," katanya.

Awal minggu ini, selepas meletakkan jawatan sebagai menteri besar, Adun Kijal itu mencetuskan kekecohan dalam arena politik Terengganu apabila mengisytiharkan keluar Umno dan memilih menjadi Adun Bebas bersama dua adun lain – Adun Ajil, Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi, Roslee Daud – sejurus selepas istiadat pelantikan Ahmad Razif sebagai menteri besar secara rasmi dilakukan.

Situasi itu mencetuskan ketidaktentuan dalam pentadbiran Terengganu yang mempunyai majoriti perbezaan kerusi kecil dalam DUN, dengan BN memiliki 17 kerusi, manakala PAS dan PKR masing-masing mempunyai 14 dan 1 kerusi DUN.

Pengisytiharan Ahmad bersama Ghazali dan Roslee itu menjadikan keadaan genting buat BN yang berkemungkinan kehilangan Terengganu apabila parti pemerintah itu hilang tiga kerusi sekaligus menyaksikan mereka mempunyai kekurangan satu kerusi DUN berbanding Pakatan Rakyat (PR), PAS dan PKR.

Kesemua mereka bagaimanapun membuat "u-turn" kurang 48 jam selepas keluar daripada Umno dengan menyertai semula parti Melayu itu.

Ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kemaman, Terengganu pada Rabu, Ahmad berkata krisis berkenaan berpunca akibat salah faham berhubung tarikh perkahwinan anak perempuannya dengan Najib.

Ahmad turut berkata, keputusan menarik balik surat keluar partinya itu juga dibuat setelah Najib membuat permohonan maaf kepadanya.

Perdana menteri itu juga dijangka akan menghadiri majlis kenduri kahwin anak perempuan Ahmad yang berlangsung pada Sabtu ini di kediamannya.

Satiful bagaimanapun membayangkan situasi sukar terpaksa diharungi menteri besar yang baru dilantik untuk mentadbir Terengganu memandangkan semua yang terlibat dalam isu ini kekal sebagai Adun BN.

"Kita tidak tahu bagaimana kabinet mereka. Bilangan mereka agak terhad. Siapa akan mengetuai 'Backbencher' (Kelab Penyokong BN), adakah Ahmad bersedia?

"Dengan situasi dan emosi mereka, bagaimana menteri besar baru ini akan uruskan mereka? Ini boleh jadi dilema sepanjang zaman," katanya.

Tambahnya lagi, imej Abdul Razif juga sudah tercemar sejak hari pelantikan beliau apabila majlis penerimaan watikah sebagai menteri besar itu dilaksanakan dengan tergesa-gesa.

"Imej menteri besar baru sudah tercalar sejak hari pertama. Peralihan tidak tenang, dibuat secara tergesa-gesa. Masalah ini bukan daripada kita. Ini isu dalaman mereka dan rakyat melihat perkara ini," katanya, dan menambah, Najib sebagai perdana menteri juga gagal menyelesaikan perkara ini dengan baik.

"Saya tidak tahu selepas ini sama ada akan berulang di negeri lain ... dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas Kajang yang berlaku, kita rasa masih tidak memihak kepada kerajaan," katanya.

Ketika pentadbiran beliau sebagai menteri  besar sebelum ini, Ahmad dikritik hebat dengan projek-projeknya yang didakwa tidak memberikan manfaat kepada rakyat.

Antara isu yang timbul adalah ekspedisi saintis ke Antartika yang beliau katakan bertujuan untuk membuka laluan bagi membantu kerajaan menubuhkan sebuah stesen penyelidikan bersama Instituto Antartico Chileno (INACH). 

Ekspedisi saintifik itu katanya memberi peluang kepada peserta rombongan melihat secara dekat kerja-kerja penyelidikan para saintis dari seluruh dunia.

"Saya ke Antartika atas undangan Institut Penyelidikan Antartika Chile. Ketika di sana kami menaiki kapal tentera laut Chile iaitu 'Aqulies' dan bukannya makan angin.

"Kalau saya nak makan angin, lebih baik saya tidak ke Antartika. Nak beli apa di sana? Nak sentuh dan bawa balik penguin pun tidak boleh.

"Kami sebenarnya mengambil risiko tinggi kerana cuaca di sana sukar diramal dan berubah dalam masa yang singkat," katanya.

Selain itu, beliau turut dikaitkan dengan isu pembelian dua unit Amphicoach atau bas amfibia yang berharga RM6 juta dari Malta dan akan meletakkan kenderaan dua alam itu di Tasik Kenyir.

Tiada ulasan: