Ahad, 11 Mei 2014

Jelas tentang hudud hingga masyarakat faham

Jelas tentang hudud hingga masyarakat faham  
Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia dan Perpaduan Masyarakat (MAZLUMDER), Ahmet Faruk Unsal


KUALA LUMPUR - Usaha memberi kefahaman dan penjelasan berterusan mengenai hukum hudud kepada orang bukan Islam perlu dipertingkatkan sehingga majoriti rakyat Malaysia memahami hukum berkenaan.

Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia dan Perpaduan Masyarakat (MAZLUMDER), Ahmet Faruk Unsal berkata kerajaan Malaysia digesa mengambil inisiatif meredakan kemarahan dan ketegangan antara agama sebelum boleh memperkenalkan undang-undang baharu itu.

“Seperti kita tahu Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki berbagai kaum dan agama seperti Cina dan India. Jadi jalan terbaik adalah duduk semeja serta berbincang mengenai perkara ini supaya menemui kata sepakat.

“Rasanya seluruh rakyat negara ini tidak mahu perkara tidak diingini berlaku seperti perbalahan antara kaum kerana apa yang saya tahu Malaysia merupakan sebuah negara aman dan harmoni,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut hasrat Pas membawa draf undang-undang persendirian mengenai hukum hudud ke Dewan Rakyat bagi mendapatkan sokongan ahli Parlimen beragama Islam sebelum boleh dilaksanakan di Kelantan.

Mengulas lanjut, Ahmet Faruk menambah, sekiranya Malaysia serius menjadikan hudud sebagai undang-undang, mereka perlu mencontohi negara yang telah berjaya melaksanakannya seperti Arab Saudi dan terkini Brunei.

Malah katanya hasrat itu juga turut dikongsi bersama masyarakat Islam di Turki yang kini mula menambah baik pentadbiran negara itu termasuk perundangan Islam.

“Turki pada masa ini merupakan sebuah negara sekular tetapi sejak10 tahun kebelakangan ini mereka cuba mempraktikkan nilai-nilai Islam dan mungkin hudud boleh dipraktikkan pada masa akan datang jika rakyat diberikan kefahaman,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan mana-mana pihak supaya lebih berhati-hati dalam menyatakan pendirian khususnya Syria kerana dikhuatiri akan menjejaskan rangkaian pengangkutan bantuan kemanusiaan di negara-negara Timur Tengah itu.

“Rakyat Syria sendiri masih berjuang mempertahankan hak mereka, campur tangan negara lain mungkin akan memburukkan keadaan termasuk melumpuhkan pusat misi bantuan,” katanya

Tiada ulasan: