Jabatan Meteorologi pantau fenomena El Nino  
Jenuwa menerangkan mengenai fenomena El Nino yang akan melanda negara.
 

KOTA BHARU – Jabatan Meteorologi akan memantau rapi fenomena El Nino yang dikatakan akan melanda negara kesan daripada Monsun Barat Daya bermula awal Mei sehingga September tahun ini.

Pengarah Jabatan Meteorologi Kelantan\Terengganu, Jenuwa Husin memberitahu, menurut kenyataan dikeluarkan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pertengahan April lalu, fenomena tersebut mungkin melanda dunia sekitar pertengahan tahun ini.

“Menurut WMO, masih terlalu awal menentukan kekuatan El Nino yang mana tempoh hayatnya boleh berlanjutan enam ke 18 bulan.

“Kesan El Nino kepada negara secara umumnya boleh menyebabkan jumlah hujan berkurangan, terutamanya di Sabah dan Sarawak, tetapi keadaan ini akan bergantung pada kekuatan El Nino itu sendiri. Meteorologi Malaysia akan memantau rapi situasi ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, Monsun Barat Daya bermula di Malaysia pada 15 Mei lalu dan dijangka berterusan sehingga September ini yang secara amnya monsun itu merupakan musim kering bagi negara ini.

Beliau berkata, dalam tempoh ini negara tidak akan mengalami hujan tetapi ia tetap boleh berlaku pada waktu pagi terutamanya di kawasan pantai negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia.

“Jangkaan hujan untuk Monsun Barat Daya ini, kurang daripada paras normal pada bulan Jun untuk semua negeri dan kembali ke paras normal dari Julai hingga September, kecuali Sarawak,” katanya.