KOTA BELUD - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak membidas kenyataan Pemuda MCA yang mempersoalkan fungsi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dalam mengurus isu keselamatan khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
Beliau menyifatkan cadangan Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon supaya Esscom ditutup atau dibubarkan susulan kes penculikan di Pulau Baik, Lahad Datu, Isnin lepas, sebagai tidak bertanggungjawab.
"MCA sepatutnya memahami fungsi dan peranan Esscom serta memahami keadaan sebenar keselamatan di kawasan pantai timur sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertandingan menembak anjuran Angkatan Relawan Malaysia (Rela) dekat sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Sin Woon dalam laporan akhbar tempatan yang mencadangkan Esscom ditutup dan memberikan kuasa penuh kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengurus isu keselamatan di negeri itu terutama kes penculikan.
Sin Woon juga dipetik sebagai berkata, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, yang juga Pengerusi Esscom, sepatutnya bertanggungjawab ke atas isu keselamatan di negeri itu dan kejadian penculikan yang berlaku di Esszone.
Sementara itu di Kota Kinabalu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Masidi Manjun, mengulas perkara yang sama, isu keselamatan di negeri itu tidak harus dijadikan sebagai alat politik oleh mana-mana pihak.
MCA harus membezakan antara politik dan perkara-perkara yang menjejaskan keselamatan negeri dan negara, kata Masidi, yang juga Penolong Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, dalam kenyataan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan