Guru kecewa arahan JPN Kedah  
Seorang guru menunjuk surat pekeliling yang diterima sekolah dari Jabatan Pelajaran Negeri Kedah mengenai peraturan menyambut Hari Guru di Kedah.


POKOK SENA - Arahan supaya tidak menggabungkan pelajar sesi pagi dan petang bagi sambutan Hari Guru pada 18 Mei ini, seperti yang dinyatakan dalam surat pekeliling mengecewakan warga guru di sini.

Beberapa guru yang ditemui berkata, arahan dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah itu menyebabkan sambutan itu akan jadi kurang meriah berbanding menghimpunkan seluruh guru dari sesi pagi dan petang yang menjadi tradisi sejak dahulu lagi.

Majlis itu juga tidak dapat lagi menyatukan semua guru bagi meraikannya dengan mengadakan sukaneka atau pementasan seperti kebiasaan sekali gus menjarakkan lagi jurang antara guru bagi dua sesi.

Difahamkan, tindakan itu juga menyebabkan penganjur terpaksa membuang masa bagi menyediakan majlis tahunan itu sebanyak dua kali iaitu sesi pagi dan petang. Penyediaan dua kali bagi meraikan majlis itu juga turut memerlukan kos tinggi berbanding sebelum ini.

Menurut surat pekeliling itu juga, pada hari tersebut guru dimestikan mengikut dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar sebelum masa rehat.  Arahan ini juga turut dikatakan akan membebankan guru dalam melaksanakan Hari Guru.

Jika guru terpaksa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebelum waktu rehat, sudah pasti sukaneka terutamanya yang membabitkan acara padang pada waktu pagi bersama pelajar tidak dapat dijayakan seperti yang dilakukan sebelum ini.

Menurut beberapa guru, arahan ini juga sangat berbeza dengan Hari Guru di negeri lain.

Oleh itu, adalah lebih wajar Hari Guru disambut seperti sebelumnya supaya seluruh guru dan pelajar dapat bersama bagi mengeratkan lagi hubungan seperti sebelum ini.

Sementara itu, Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Cawangan Kedah, Wang Heng Suan berkata, pengetua perlu bijaksana dalam mengarahkan guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebelum rehat seperti yang diarahkan.

“Adalah tidak wajar pada hari itu diadakan pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar sebelum rehat kerana selama ini mereka sudah banyak memperuntukkan masa untuk mengajar.

"Oleh itu adalah tidak salah jika mereka mahu gembira bersama pelajar bagi meraikan hari tersebut,” katanya.

Bagaimanapun beliau bersetuju dengan sambutan yang diadakan bagi dua sesi kerana bagi sekolah yang kecil apabila semua pelajar dari sesi pagi dan petang dihimpunkan sudah pasti akan menimbulkan kesesakan.

Katanya, apabila seluruh pelajar dihimpunkan dalam sesebuah dewan, sudah pasti akan menimbulkan masalah terutamanya bagi sekolah yang mempunyai kemudahan terhad.