Khamis, 15 Mei 2014

Gani Patail perlu nyatakan pendirian, kata peguam

OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

Keputusan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk mendakwa semula pemimpin pembangkang Nik Nazmi Nik Ahmad mengejutkan orang ramai dan mereka meminta penjelasan daripadanya. – Gambar The Malaysian Insider, 15 Mei, 2014. Keputusan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk mendakwa semula pemimpin pembangkang Nik Nazmi Nik Ahmad mengejutkan orang ramai dan mereka meminta penjelasan daripadanya. – Gambar The Malaysian Insider,.  






























Para peguam hari ini menggesa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhenti terus berdiam diri dan menjawab beberapa keputusan yang boleh dipersoalkan oleh pejabatnya berhubung dakwaan kepada pemimpin pembangkang yang dibawa ke mahkamah.

Ia amat mengejutkan apabila Gani memutuskan untuk mendakwa semula pemimpin pembangkang Nik Nazmi Nik Ahmad atas kegagalannya memberikan notis 10 hari kepada polis untuk mengadakan perhimpunan seperti yang disebutkan dalam Akta Perhimpunan Aman (PAA).

Keputusan itu tetap diambil walaupun Mahkamah Rayuan membebaskan Nik Nazmi pada 25 April selepas melihat hukuman di bawah PAA tidak berperlembagaan kerana melanggar hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman.

Semalam, tiga aktivis Mohd Bukhairy Sofian, Edy Noor Ridzuan dan Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard turut mengalami situasi yang sama, tetapi Mahkamah Sesyen membebaskan tanpa lepas kerana hakim berkata keputusan Mahkamah Rayuan masih terpakai.

Peguam berkata Gani harus sedar rakyat meletakkan jangkaan yang tinggi kepadanya dan beliau kini perlu memberikan penjelasan.

Gani mesti mempertahankan integriti pejabat yang dikepalainya sejak 2001, menurut peguam berkenaan.

Mereka juga mendapati salah guna Akta Hasutan oleh peguam negara bagi menghalang tentangan terhadap Putrajaya, walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan untuk memansuhkan undang-undang itu.

Minggu lalu, naib presiden DAP Teresa Kok dituduh menghasut melalui video satiranya, 'Onederful Malaysia' yang dikeluarkan pada Februari.

Terdahulu, ahli parlimen PKR Chua Tian Chang, ahli PAS Tamrin Ghafar dan aktivis Haris Ibrahim, Adam Adli dan Safwan Anang turut dituduh melalui undang-undang kejam itu.

Peguam berkata pemimpin yang menyebelahi Umno seperti Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan bekas naib presidennya, Datuk Zulkifli Noordin terlepas daripada pertuduhan kerana membangkitkan api perkauman dan agama.

Mereka berkata Gani perlu menjawab isu ini dan kegagalan berbuat demikian hanya akan memberikan persepsi negatif kepada diri dan jabatannya mengamalkan pendakwaan terpilih terhadap mereka yang menentang kerajaan.

Peguam jenayah Datuk Baljit Singh Sidhu berkata Gani harus tampil setelah isu yang disebutkan menjadi kepentingan ramai.

"Beliau mesti menjelaskan isu tersebut supaya rakyat merasakan kewujudannya," katanya yang kini merupakan tenaga pengajar di sebuah universiti tempatan.

Baljit berkata rakyat mengharapkan Gani tampil ke mahkamah dan mempertahankan polisi jabatan serta keputusannya.

"Peguam negara seperti Tan Sri Abu Talib Othman selalu tampil dalam pendakwaan. Mengapa Gani enggan berbuat demikian dalam kes berkepentingan seperti hasutan dan PAA?" katanya.

Peguam sivil Syahredzan Johan berkata beliau mahu Gani tampil agar rakyat tidak membuat kesimpulan sendiri berhubung isu yang membabitkan kepentingan ramai.

"Sebelum ini, Gani dan jabatannya tampil ke khalayak ramai dan saya berharap perkara sama dilakukannya," katanya.

Syahredzan berkata Gani mempunyai tanggungjawab melindungi institusi awam yang diketuainya setelah sering mendapat perhatian.

"Saya tidak mengharapkan beliau menjawab semua isu, tetapi sekurang-kurangnya menjawab kes penting agar tiada persepsi buruk terhadap diri dan jabatannya.

Tiada ulasan: