Khamis, 8 Mei 2014

Dua tahun selepas umum mansuh, Akta Hasutan jadi senjata utama BN

TonyPua_walkabout


Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Dua tahun selepas Datuk Seri Najib Razak mengumumkan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, akta itu kini menjadi senjata utama kerajaan pimpinannya dalam mengekalkan kuasa dan menekan Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, rakyat menyaksikan sendiri Perdana Menteri memungkiri janjinya dengan membiarkan akta itu digunakan untuk mendakwa para pemimpin Pakatan serta aktivis masyarakat.

“Kita semua menunggu pemansuhan akta lapuk itu (selepas pengumuman dibuat). Namun Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 telah berlalu dan Najib mendapat mandat baru walaupun kalah undi popular, tiada apa yang berubah.

“Kini jelas bahawa Najib tidak berniat untuk memansuhkannya. Malah, ia akan digunakan dengan lebih keras ke atas lawan politik BN untuk menyekat ruang demokrasi dan kebebasan bersuara,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 11 Julai 2012, Najib dalam satu majlis mengumumkan pemansuhan Akta Hasutan 1948, kononnya sebagai sebahagian daripada usaha ‘transformasi’nya.

Setahun kemudian, beliau sekali lagi mengulangi janji itu dalam satu wawancara dengan British Broadcast Corporation, dengan menegaskan akta itu akan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional.

“Najib bersikap hipokrit dengan berlagak di depan masyarakat antarabangsa bahawa beliau menunjukkan kelonggaran kepada pihak yang membantah kerajaan.

“Jelas, tiada seorang pun mangsa akta dalam tempoh itu yang menyatakan hal yang boleh menjejaskan kestabilan negara. Mereka hanya menggugat kredibiliti kerajaan BN, sedangkan itu bukan satu kesalahan dalam negara demokratik,” kata Setiausaha Publisiti DAP itu lagi.

Tahun lalu, Naib Presiden PKR Tian Chua, Ahli PAS Datuk Tamrin Ghafar bersama-sama aktivis Haris Ibrahim, Adam Adli dan Safwan Anang ditahan di bawah akta itu ekoran berucap dalam satu forum berhubung keputusan PRU pada 13 Mei lalu.

Awal tahun ini pula, bekas Pengerusi DAP Karpal Singh dijatuhkan hukuman bersalah selepas memberikan pandangan perundangan berhubung krisis kerajaan Perak tahun 2009 dan seterusnya Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok didakwa dua hari lalu disebabkan klip video Onederful Malaysia.

Mengulas dakwaan terbaru itu, Pua menyifatkan ia adalah semata-mata bertujuan politik, kerana tiada satu pun kandungan video itu yang menyentuh hal-hal sensitif seperti kaum dan agama.

“Dalam kertas pertuduhan daripada Pejabat Peguam Negara, tiada satu bahagian pun yang menyentuh hal-hal sensitif itu. Teresa didakwa kerana mengkritik kelembapan kerajaan dalam isu keselamatan negara dan pendidikan,” katanya lagi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: