Krisis melanda UMNO dan kerajaan negeri Terengganu, berikutan dengan perletakkan jawatan Ahmad Said sebagai Menteri Besar semalam dan terus keluar dari UMNO dan menjadi ADUN bebas dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu.
Tindakan Ahmad Said keluar dari UMNO itu telah membuatkan dua orang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri
mengikut jejak langkah Ahmad Said keluar parti dan meletakkan kerajaan BN/UMNO
Terengganu kini adalah kerajaan minoriti yang hanya mempunyai 14 kerusi sahaja
dalam DUN Terengganu. Nampaknya tidak mustahil jika PAS akan mengambil alih
kerajaan Terengganu kerana jumlah bilangan kerusi bagi UMNO dalam Dewan
Undangan Negeri Terengganu sudah tidak melayakkan UMNO menerajui negeri itu
lagi.
Tetapi saya tidak ingin menyebut
apakah yang terbaik bagi PAS lakukan dalam krisis yang amat besar menghadapi
UMNO Terengganu ini. Saya lebih cenderung untuk memberikan ulasan tentang UMNO
secara keseluruhannya.
Tindakan Ahmad Said keluar UMNO
sejurus meletakkan jawatan Menteri Besar itu membawa makna dan 'significance' yang
besar terhadap UMNO itu sendiri. Ia bermakna pucuk pimpinan UMNO sudah tidak
mendapat penghormatan yang sepatutnya dari pimpinan bawahannya. Tidak ada sebab
Ahmad Said keluar dari parti hanya kerana beliau diminta meletakkan jawatan.
Walaupun beliau memberikan alasan kerana Najib tidak mahu memberikan peluang
untuk beliau meletakkan jawatan selepas 17 Mei nanti, sejurus beliau
melangsungkan perkahwinan anaknya.
Tindakan Ahmad Said dan dua orang
lagi ADUN Terengganu meninggalkan parti itu membayangkan yang pimpinan Najib
sudah tidak dihormati lagi oleh pimpinan peringkat bawahan. Tindakan tidak akur
Ahmad Said dan dua lagi ADUN itu bukan sahaja tidak menghormati Najib, tetapi
ia juga melambangkan sikap tidak percaya terhadap barisan kepimpinan parti
kerana keputusan UMNO meminta seorang Menteri Besar itu adalah
tindakan bersama semua Majlis Tertinggi (collective responsibility) parti.
Kegagalan menguasai UMNO
Terengganu itu menunjukkan kelemahan Majlis Tertinggi UMNO dan ia
merupakan undi
tidak percaya terhadap Majlis Tertinggi UMNO bukan setakat tentangan
terhadap
Najib seorang. Ahmad Said sememangnya seorang yang bermasalah tetapi
pucuk pimpinan masih memilihnya untuk menerajui kerajaan Terengganu
kerana kepentingan jangka pendek semata-mata. Akibatnya kita sedang
sama-sama menyaksikannya.
Itu sebabnya blog ini telah
banyak tahun menyatakan yang UMNO yang kini sangat lemah tidak lagi mampu
membuat keputusan dengan tepat. Keputusan yang hendak dilakukan itu adalah
keputusan yang melibatkan pemimpin yang semuanya adalah dikalangan mereka yang
mengambil budaya politik ‘kuning’ yang akan membunuh UMNO itu sendiri akhirnya.
Kalau tidak masakan Ahmad Said
merupakan seorang yang sangat ‘controversial’ yang mendapat tempat dan
kedudukan melalui perpecahan dalam UMNO khususnya di Terengganu itu sendiri.
Ahmad menjadi Menteri Besar dalam kontroversi besar dan perletakkan jawatan
beliau sendiri pun menghasilkan kontroversi yang besar sehingga menjerumuskan
UMNO negeri ketahap yang sangat merbahaya kedudukannya. Apa yang berlaku di
Terengganu sekarang ini merupakan kejadian yang ‘predictable’ dari dahulu lagi
dan hanya menunggu masa untuk terjadi.
UMNO pusat tidak lagi mempunyai
kekuatan untuk menguruskan negara. Itulah sebabnya selalu di peringatkan yang
jika UMNO masih ingin menjadi relevan seluruh kepimpinan di Pusat itu wajar
berhenti dan bersara dan serahkan kepada orang yang lebih berpengalaman dan
mempunyai ciri-ciri ‘magnanimity’ yang tinggi untuk melakukan pembaharuan.
Saya yakin yang keadaan ini bukan
sahaja berlaku di negeri Terengganu, tetapi ia juga berlaku di negeri-negeri
lain dan akan hanya menunggu masa sahaja untuk terjadi perkara seperti ini.
Keretakan berlaku di setiap negeri dan kawasan dan UMNO sudah kehilangan
segala-galanya ciri parti yang memerintah.
‘Intra problems’ dalam UMNO
begitu serius dan bagaimana pula UMNO hendak menyelesaikan
masalah-masalah
besar yang lain seperti rungutan dan tidak puas hati ahli ‘equal
partners’ dalam Persekutuan ini. Isu dan rungutan rakyat Malaysia di
Sabah dan Sarawak ini bukannya isu yang kecil kerana ia melibatkan
negara di masa hadapan. Ia memerlukan kepimpinan Persekutuan yang
benar-benar
mempunyai ciri kepimpinan negara yang berjiwa besar bukan setakat
pemimpin yang
hanya menyelesaikan isu-isu secara ‘ad hoc’ tanpa bertindak untuk
memperkuatkan negara dan rakyat dalam jangka masa yang panjang.
Masalah ‘inter-party’ dalam BN
semakin serius dan tanpa penyelesaian yang segera ia tidak akan mengembalikan
negara kepada keadaan yang pernah kita alami dahulu. Yang menyelamatkan UMNO
sedikit pada hari ini, ialah perpecahan yang juga sedang berlaku dalam pihak
pembangkang dan keadaan ini juga tidak memberikan keyakinan kepada rakyat yang
ramai untuk mendapatkan sebuah negara yang kuat dalam mana rakyatnya hidup
dalam aman dan damai.
Sesungguhnya masalah yang
dihadapi oleh pimpinan di Terengganu walaupun masalah besar tetapi ia tidak
sebesar masalah yang mereka hadapi dengan dua buah negeri, Sabah dan Sarawak. Ia melibatkan kestabilan sebuah negara yang
besar dan isu yang mereka di Malaysia Timur hadapi bukanlah isu yang kecil.
Bagi mereka perjanjian
Persekutuan Malaysia yang
mereka tanda tangani dahulu adalah perjanjian diantara empat buah negara, Singapura,
Sabah dan Sarawak bersama dengan Persekutuan
Tanah Melayu. Mereka berhak untuk menuntut apa yang telah dipersetujui dan
ditanda tangani kerana jika tidak diselesaikan isu ini maka mereka juga berhak
untuk bertindak mengikut kehendak dan kemahuan mereka seperti yang dijanjikan
dan di tanda tangani itu.
Penyelesaiannya hanya akan
tercapai jika ada dikalangan pemimpin yang berwibawa membawa kembali ke
meja
perundingan untuk menyelesaikan apa-apa ketidak puasan hati rakyat di
sana. Tanpa ada pemimpin yang mampu untuk menyelesaikan dan mencari
formula terbaik bagi isu ini, keadaan ini tidak mustahil akan memecahkan
negara bukan setakat perpecahan parti-parti politik tanahair
semata-mata.
Jika kita hendak mengharapkan
pimpinan di Persekutuan yang ada pada hari ini dari kedua-dua belah pihak BN dan
Pakatan Rakyat ia tidak akan sampai kemana-mana dan akhirnya akan berlaku apa
yang kita tidak ingini pada suatu ketika nanti.
Selalu blog ini menzahirkan
pendapat yang kita memerlukan sebuah negara baru yang terlandas kepada
kerjasama diantara negeri-negeri yang berdaulat dan rakyat berbilang kaum dan
agama yang mantap agar kita dapat dengan segera meninggalkan situasi sekarang
yang amat merumitkan kerajaan dan rakyat semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan