Jumaat, 16 Mei 2014

Denda RM300 cermin gelap, plat tak ikut spesifikasi

Oleh Muhammad Mustakim Ramli


Kuala Lumpur: Pemilik kenderaan yang menggunakan cermin gelap dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi perlu menukar kepada yang mematuhi peraturan selewat-lewatnya 15 Jun ini.

Polis akan melancarkan operasi pemeriksaan besar-besaran bermula 16 Jun yang mana denda maksimum RM300 akan dikenakan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan itu.

 Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Fuad Abd Latiff, berkata penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi serta cermin yang terlalu gelap menyukarkan polis untuk mengecam penjenayah.

Sukar jejaki penjenayah

Apabila berlaku kes seperti ragut, samun dan bunuh, adalah sukar untuk mangsa atau saksi mengecam nombor pendaftaran yang digunakan suspek. Secara tidak langsung sukar untuk menjejaki suspek.

Begitu juga dengan cermin yang gelap yang menyukarkan pandangan pihak berkuasa untuk mengetahui kemungkinan terdapat penjenayah yang dikehendaki atau barangan terlarang di dalam sesebuah kenderaan, katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Mengenai persoalan mengapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap penjual, Mohd Fuad berkata polis akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Tiada ulasan: