Selasa, 6 Mei 2014

Demo GST bukti rakyat masih dahagakan perubahan




Oleh Shahbudin Husin


Perhimpunan aman membantah perlaksanaan cukai GST pada 1Mei lalu pada umumnya telah mencapai sasaran yang ditetapkan. Dengan jumlah kehadiran dianggarkan seramai 50 ribu orang dan turut disertai oleh pemimpin-pemimpin utama PR, ia adalah isyarat jelas bahawa UMNO dan BN masih tidak boleh "tidur lena" menjelang PRU 14 nanti. 

Di sebalik perbagai kekecohan yang cuba dicetuskan dalam perhimpunan itu, terutama oleh golongan berbaju hitam dan memakai topeng, namun secara umumnya hasrat untuk menunjukkan suara bantahan terhadap dasar tidak adil dan mengabaikan rakyat bawahan yang cuba diperkenalkan oleh kerajaan, telah mencapai sasarannya.

Sesiapa pun dapat menjangka dari mana datangnya dan siapa yang menaja "budak-budak berbaju hitam dan bertopeng" yang mencetuskan kekecohan dan cuba menggambarkan perhimpunan aman itu seolah-olah dipenuhi dengan unsur keganasan serta kekerasan. Mereka bukanlah peserta demo tulen sebenarnya.

Mereka ini nampaknya sengaja dihantar ke perhimpunan itu untuk mencetuskan huru-hara. Sebab itu sasaran serangan mereka ialah media supaya ianya lebih mudah mendapat perhatian dan menjadi tajuk besar di akhbar, tv dan portal berita.

Sekiranya mereka ini hanya ingin menyertai perhimpunan dan tidak mahu mencetuskan huru-hara, apa perlunya memakai topeng dan menyembunyikan identiti diri?

Bagaimanapun kehadiran yang masih boleh kira membanggakan dalam perhimpunan itu,m terutama oleh anak-anak muda dan golongan bawah 40an, sekali lagi ia merupakan bukti bahawa mereka masih tidak mahu bersama BN dan kerajaan.

Walaupun kehadiran peserta bukan Melayu tidak begitu ramai, tidak seperti mana-mana perhimpunan sebelum PRU 13 lalu tetapi trend dan kecondongan undi mereka memang sudah diketahui umum tidak berubah seperti yang ditunjukkan di dalam peti undi pada pilihanraya lalu. Setelah setahun berlalu, pengundi bukan Melayu tetap mahukan perubahan. Sama seperti pengundi muda dan Melayu yang tinggal dibandar dan separa bandar, perubahan dan mahu melihat BN ditumbangkan masih lagi menjadi prioriti.

Jika keputusan pilihanraya kecil DUN Kajang yang baru berlalu turut diambil kira, jelas bahawa pengundi bukan Melayu masih bersama PR dan menolak BN.

Keadaan ini menjadikan kelompok yang masih menyokong UMNO dan BN kekal daripada Melayu kampung, luar bandar dan peneroka Felda.

Perhimpunan membantah GST itu juga diadakan hampir genap setahun selepas pilihanraya umum 5 Mei 2013. Jika sebelum ini Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri kerana menumpang ehsan kuasa yang ditinggalkan oleh Tun Abdullah Badawi, tetapi sejak 5 Mei 2013 tahun lalu, beliau berdiri atas tapak yang lebih rapuh lagi.

Bukan saja majoriti kerusi makin berkurangan, malah pelbagai isu dan masalah yang melanda negara memperlihatkan bahawa rakyat masih dahagakan perubahan. Perhimpunan membantah GST 1 Mei sekali lagi menjadi bukti rakyat begitu menginginkannya.

Jika hanya setahun selepas PRU 13, perhimpunan aman masih boleh diadakan dengan kehadiran yang membanggakan serta semangat rakyat yang kekal membara, ia tentulah menunjukkan masih banyak yang tidak kena dengan kerajaan. Dan sekiranya perhimpunan yang seterusnya diadakan atau ianya diadakan ketika semakin mendekati tarikh PRU 14, tentulah semakin ramai yang hadir nanti.

Walaupun kerajaan melalui kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan bahawa cukai GST tetap akan dilaksanakan disebalik adanya bantahan dan perhimpunan aman, kerajaan tidak seharusnya memandang enteng semangat perubahan yang sedang berlaku di kalangan rakyat.

Memanglah kerajaan masih boleh berkeras dengan pendiriannya tetapi janganlah lupa hakikat bahawa 52 peratus undi rakyat sudah tidak lagi bersama mereka dan perbezaan jumlah kerusi Parlimen pula hanyalah 23 sahaja.

Jika kerajaan masih enggan mendengar suara rakyat dan pemimpin pula kekal dengan slogan berbaur sombong "kami lebih mengetahui" walaupun sebelum ini beberapa kali Datuk Seri Najib mengingatkan bahawa era "kerajaan mengetahui segala-galanya" telah berakhir, rakyat juga tidak akan teragak-agak menjatuhkan hukuman.

Menyedari bahawa mungkin lebih banyak demonstrasi akan diadakan selepas ini, mewujudkan kekecohan dan huru-hara serta menggambarkan perhimpunan itu dipenuhi keganasan dan menyusahkan rakyat, tidak lain adalah percubaan melencongkan pemikiran rakyat agar terus kekal bersama BN.

Kerajaan nampaknya bukan mahu menyambut suara bantahan rakyat dengan mereka sendiri berubah, lebih prihatin dan mendengar suara rakyat tetapi seperti amalan biasa sejak berpuluh tahun lalu, rakyat yang cuba bersuara juga yang cuba dipersalah dan digambarkan sebagai "golongan hitam dan jahat".

Tidak diragukan lagi, hanya perubahan yang dapat mengubah mentaliti itu.

Shahbudin Husin merupakan bekas wartawan yang kini menulis bagi menjadikan Malaysia lebih bagi untuk semua warganya

- See more at: http://bm.theantdaily.com

Tiada ulasan: