MH370


KUALA LUMPUR - Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan syarikat satelit United Kingdom (UK), Inmarsat hari ini berkata semua pihak sedang berusaha menyiarkan data yang belum diproses dan perihal analisis teknikal untuk orang awam.

Dalam kenyataan bersama di sini hari ini, DCA dan Inmarsat berkata langkah itu sejajar dengan komitmen mereka ke arah usaha yang lebih telus.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan pengumuman Menteri Pertahanan yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Isnin, yang mengarahkan DCA supaya berbincang dengan Inmarsat berhubung penyiaran data yang belum diproses itu untuk kegunaan awam.

Hishammuddin berkata, ini bagi memenuhi tuntutan anggota keluarga penumpang MH370 baru-baru ini yang mahu data yang belum diproses daripada Inmarsat. 

Dalam kenyataan itu, DCA juga berkata ia akan menyediakan maklumat lengkap berhubung perbincangan dengan Inmarsat, dengan bantuan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) untuk mendapatkan huraian biasa bagi data satelit Inmarsat yang disediakan untuk pesawat Malaysia Airlines MH370 selepas kehilangannya.

Sebelum ini apabila rujukan dibuat terhadap 'data log komunikasi' dan 'data yang belum diproses' - ia dirujuk sebagai set data yang sama, kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menegaskan adalah penting bagi kedua-dua agensi untuk menyediakan maklumat berguna kepada waris penumpang dan orang awam, yang termasuk data log komunikasi serta penjelasan berkaitan bagi membolehkan pembaca memahami data yang disediakan.

Data log komunikasi itu adalah satu daripada beberapa unsur dalam maklumat penyiasatan, kata kenyataan itu. DCA juga juga mengakui mendapat sokongan penuh Inmarsat berhubung penyiasatan MH370 yang sedang dijalankan. - Bernama