Khamis, 15 Mei 2014

DAP desak Paul Low letak jawatan kerana gagal tangani rasuah

OLEH MD IZWAN
 
 
DAP hari ini menggesa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low (gambar) supaya meletakkan jawatan berikutan hasil kajian terbaru oleh Transparency International Malaysia (TI-M) yang menunjukkan hanya 28% rakyat percaya kerajaan menangani isu rasuah dengan berkesan.

"Paul Low tidak mampu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pentadbir dan menteri dengan telus.

"Beliau juga wajar mengikut jejak P Waytha Moorthy yang meletak jawatan pada Februari kerana gagal menjalankan tugas," kata Pembantu Setiausaha Publisiti Kebangsaan, Teo Nie Ching dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata peruntukan berjuta-juta ringgit kepada agensi-agensi kerajaan untuk menangani merupakan sesuatu yang sia-sia selepas mendapati peranan pelantikan bekas TI-M itu tidak membantu kerajaan menentang rasuah.

"Kajian terbaru oleh TI-M membuktikan Rancangan Transformasi Kerajaan oleh pentadbiran Najib gagal sepenuhnya," kata Teo, yang juga ahli Parlimen Kulai dalam satu kenyataan hari ini.

DAP menyifatkan transformasi yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Razak gagal dan ianya terbukti dengan hasil tinjauan tersebut.

Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang ditubuhkan untuk menguruskan dan melaksanakan Program Transformasi Kerajaan pada 2009 diberi peruntukan sebanyak RM66 juta dan ia meningkat kepada RM250 juta pada 2013.

Bagaimanapun, penubuhan unit tersebut masih tidak berupaya menangani isu berkaitan, Teo mendesak Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Datuk Seri Idris Jala menjelaskan perkara tersebut.

"Sudah tiba masanya CEO Pemandu, Datuk Seri Idris Jala menjelaskan kepada pembayar cukai bagaimana wang mereka dibelanjakan dan sama ada Pemandu berupaya masih menjalankan tanggungjawab mereka," kata Teo.

TI-M semalam mengeluarkan kajian Barometer Rasuah Malaysia (MCB) 2014.

Dalam laporan tersebut, kajian menunjukkan persepsi kerajaan dalam menangani rasuah merosot dengan 38% rakyat Malaysia merasakan usaha tersebut tidak berkesan.

Daripada 2,000 rakyat Malaysia yang menjadi responden, 45% daripada mereka melihat parti politik mengamalkan rasuah tertinggi, diikuti polis (42%), penjawat awam (31%) serta badan perundangan (23%).

Barometer rasuah global tahun lalu mencatatkan 78% rakyat Malaysia percaya polis paling rasuah di Malaysia.

Presidennya, Datuk Akhbar Satar berkata kenyataan itu unik kepada Malaysia kerana parti politik di negara lain tidak dilihat terlalu buruk mengamalkan rasuah seperti di negara ini.

"Ya, kita tidak lihat perkara ini di negara lain. Kita melihat perkara sebegini buat pertama kali," katanya.

Tiada ulasan: