Sabtu, 24 Mei 2014

Ceroboh DUN: Khairy digesa umum tindakan

MALAYSIAKINI


Calon DAP bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh Deo menggesa Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengumumkan tindakan yang akan diambil terhadap anggota pergerakan itu yang merempuh ke dalam bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Rabu lepas.
  
"Tindakan perlu diambil. Permohonan maaf daripada (Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang) Jahara (Hamid) sahaja tidak mencukupi kerana saya tidak fikir beliau mempunyai pengaruh terhadap mereka.
  
"Oleh itu, saya menyeru Khairy Jamaluddin menyatakan apakah tindakan yang sedang diambil terhadap orang berkenaan memandangkan identiti mereka sudah dikenal pasti," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.
  
Beliau berkata DAP mengutuk cubaan mana-mana pihak untuk bertindak seperti kumpulan manusia ganas.
  
Kira-kira 100 lelaki yang mendakwa mereka daripada Umno dan pertubuhan bukan kerajaan merempuh pintu utama bangunan itu dan memasuki biliknya, dikatakan untuk mencari ADUN Seri Delima R. S. N. Rayer, yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Umno pada Selasa.
  
Rayer dikatakan mengeluarkan kata-kata itu ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dengan mendakwa beberapa pemimpin Umno negeri cuba menimbulkan ketakutan rakyat melalui demonstrasi yang membangkitkan sentimen pergaduhan kaum 13 Mei 1969.
  
Terdahulu, Ramkarpal menemani Rayer membuat laporan polis berhubung pemasangan kain rentang yang mempunyai gambar Rayer dengan kapsyen 'Melayu Celaka', dan gambar Ramkarpal bersama petikan kata-kata daripada ceramahnya bahawa beliau akan menentang hukum hudud sekiranya diberi mandat sebagai anggota Parlimen.
  
Kain rentang itu dipasang di beberapa tempat dalam kawasan Bukit Gelugor.- Bernama

Tiada ulasan: