SHAH ALAM - Seorang bekas eksekutif akaun dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun hari ini selepas didapati bersalah menggunakan 26 keping cek palsu bernilai RM1.8 juta, lima tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen, Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, Aliah Fadzilah Wan Abdullah @ Tan Mei Wan, 40, seorang mualaf.

Selain itu, tertuduh turut didenda RM150,000 selepas dia didapati bersalah melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan 10 daripada 26 keping cek tersebut bernilai RM918,520.48.

Tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara lima tahun lagi sekiranya gagal membayar denda itu.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan Aliah Fadzilah daripada pertuduhan memalsukan 26 keping cek sama selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh sebelum ini dibicarakan atas pertuduhan memalsukan 26 keping cek dan 26 pertuduhan menggunakan cek palsu sama di Syarikat Orion Orchard Sdn Bhd di Bandar Baru Klang, dan di cawangan dua bank di Shah Alam antara 10 Februari 2009 dan 27 Mei 2009.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 467 dan 471 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga dibicarakan atas 10 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang melalui 10 keping cek berkenaan ke akaun miliknya dan milik individu lain.

Bagi kesalahan itu, Aliah Fadzilah didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.   

Seramai 14 saksi pendakwaan dan enam saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Hakim Aslam bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan tetapi memerintahkan wanita itu membayar denda dalam tempoh dua minggu.

Mahkamah juga mengekalkan wang jaminan RM150,000 yang ditetapkan ke atas tertuduh sebelum ini dan memerintahkan wanita itu melapor diri di Bahagian Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Jumaat pertama setiap bulan.

Hakim Aslam menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan bagi mengetahui status pembayaran denda.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mardziatun Nisa Ahamadul Kaber, Siti Syuhada Alwi dan Faten Hadni Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam Ravi Nekoo. - Bernama