KUALA LUMPUR: Keputusan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia yang mengenakan caj tambahan baharu kepada semua penumpangnya yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bermula semalam dilihat menekan pengguna.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar yang kecewa dengan keputusan tersebut meminta agar AirAsia mahupun Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) lebih prihatin dengan apa yang dihadapi penumpang.
"Sepatutnya kos pengunaan AirAsia dikekalkan sepertimana penggunaan Terminal Tambang Murah (LCCT) sebelum ini.
"Keputusan meletakkan caj tambahan dari kos yang asal adalah tidak berpatutan kerana ia memberi tekanan kepada pengguna.
"Kalau semua kos tambahan dikenakan kepada pengguna, di mana istilah tambang murah," jelasnya kepada Harakahdaily.
Beliau yang meminta kedua-dua pihak, AirAsia dan MAHB mencari jalan penyelesaian terbaik mengenai caj-caj tambahan berikutan penggunaan KLIA2.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar memberitahu caj RM3 dikenakan kepada setiap penumpang berikutan penggunaan sistem daftar masuk baharu yang disediakan oleh pengendali terminal tersebut, Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB).
Menurut Aireen, caj RM3 itu tidak termasuk bayaran penggunaan jambatan udara yang turut dikenakan kepada penumpang ketika proses tempahan tiket penerbangan.
"Kenapa penumpang yang menjadi mangsa bila adanya caj tambahan, sepatutnya kedua-dua syarikat tersebut cari jalan penyelesaian dan bukannya meletakkan beban kepada pengguna.
"Saya berharap ia dapat diselesaikan dengan baik, caj tambahan tidak memberi manfaat kepada pengguna sebaliknya hanya menguntungkan satu pihak sahaja," sambung Ahli Parlimen Pokok Sena itu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan