KUALA LUMPUR - Boeing, pengeluar pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang secara misteri sejak 8 Mac lepas, bersama-sama seluruh komuniti penerbangan global berikrar untuk mengetahui apa yang berlaku terhadap pesawat berkenaan dan mengapa.
Dalam kenyataan di sini hari ini, pengeluar pesawat itu berkata Boeing sedang bekerjasama dengan semua pihak dengan harapan menyelesaikan pencarian pesawat itu secepat mungkin.
Ia berkata semua laporan kemas kini dan maklumat harus disampaikan pihak berkuasa Malaysia.
"Boeing terlibat secara aktif sebagai penasihat teknikal kepada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat, berkongsi kepakaran tenikal dan analisis dengan pasukan penyiasat Malaysia dan menyokong pencarian yang dilakukan sekarang," kata Boeing.
Boeing berkata ia akan turut serta dan menyokong usaha untuk mencari cara berkesan dan efisien bagi meningkatkan pengesanan kapal terbang di seluruh dunia.
"Sejak hari pertama, keluarga dan insan disayangi yang menaiki pesawat Malaysia Airlines 370 sentiasa dalam ingatan dan doa kita," kata Boeing.
Penerbangan MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
Antara penumpangnya tiga orang warga Amerika Syarikat.
Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200ER itu diperairan Perth, Australia membabitkan penggunaan Kenderaan Dalam Air Autonomi (AUV) Bluefin-21. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan