Rabu, 21 Mei 2014

Bkt Gelugor: 83.1% keluar mengundi awal

MALAYSIAKINI


 


Peratusan keluar mengundi pada pengundian awal pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor di empat saluran mengundi di George Town hari ini adalah 83.1 peratus, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
  
Pemangku Pengarah SPR Pulau Pinang Azizal Ahmad berkata selepas tempoh pengundian awal tamat tepat 2 petang, hanya 123 pengundi daripada keseluruhan 148 anggota polis dan tentera yang keluar menunaikan tanggungjawab itu.
  
Proses pengundian awal itu melibatkan empat pusat pengundian iaitu Tabika Kemas Markas Gerakan Marin Wilayah Satu di Batu Uban, Bilik Maklumat Balai Polis Air Itam, Bilik Maklumat Balai Polis Bandar Baharu dan Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Pinang di Gelugor.
  
Azizal berkata empat peti undi itu akan disimpan di lokap Balai Polis Pulau Tikus sehingga hari penjumlahan rasmi undi Ahad ini (25 Mei).
  
Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP akibat nahas jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak 17 April lepas.
  
Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon DAP Ramkarpal Singh Deo, naib presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan serta dua calon Bebas Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan.
  
SPR menetapkan 25 Mei ini sebagai hari pengundian bagi 82,283 pemilih biasa. - Bernama

Tiada ulasan: