Jumaat, 23 Mei 2014

Berhati-hati beri pendapat mengenai hudud, bimbang akidah terjejas

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Umat Islam perlu berhati-hati mengeluarkan pendapat mengenai hudud kerana dikhuatiri jika tersilap lafaz ia boleh menjejaskan akidah dan syahadah mereka.

Mufti Kelantan Datuk Mohammad Shukri Mohammad (gambar) berkata seseorang Islam tidak boleh berkata beliau menolak hudud atau pelaksanaannya kerana hudud merupakan undang-undang Allah yang wajib dilaksanakan.

"Jika dia berkata dia tidak menolak hudud tetapi menolak pelaksanaan hudud sekali pun, ia tidak boleh. Sebaliknya katakanlah bahawa hudud itu akan dilaksana tetapi dengan ruang-ruang dan perbincangan antara sekutu sehingga ia boleh dilaksanakan dengan persetujuan semua.

"Dalam konteks negara kita yang berbilang kaum ini, hudud itu dikatakan tidak sejajar dengan perlembagaan tetapi ia perlu jua dilaksanakan apabila ada ruang persetujuan antara pihak berkenaan nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Shukri berkata hukuman hudud bagi orang Islam adalah wajib seperti solat, haji dan puasa, namun katanya atas sebab-sebab tertentu ada juga yang tidak mengamalkan solat, puasa atau haji.

"Ada juga orang Islam yang tak solat, tetapi dia tak tolak solat. Ada yang tak buat haji walaupun dia mampu tapi dia tak tolak haji.

"Begitu juga hudud, pelaksanaannya juga tidak boleh ditolak sebaliknya terus dibincang sehingga boleh dilaksanakan," katanya.

Mohamad Shukri juga menasihatkan agar umat Islam negara ini berhati-hati ketika membincangkan tentang hudud sama ada di laman sosial atau sebagainya untuk mengelak akidah terkena 'virus' atau menjejas syahadah.

"'Virus' itu maksudnya kita semacam termakan apa yang orang kata tentang hudud kononnya zalim dan sebagainya sedangkan mereka tidak faham apa itu hudud. Manakala syahadah pula pendirian kita terhadap Islam dengan lafaz dua kalimah syahadah, itu perlu dijaga jangan sampai terjejas," katanya.

Katanya perbincangan tentang hudud sepatutnya diserahkan kepada pihak yang pakar mengenainya dalam usaha memberikan pemahaman terutama kepada orang bukan Islam.

"Kalau sakit jantung, biar pakar jantung yang rawat, begitu juga persoalan hudud, tidak usah kita sama-sama bincang, bimbang akidah terjejas, biar yang pakar selesaikan" katanya.

Mohamad Shukri turut meminta anggota-anggota politik termasuk calon pilihan raya mengelak menggunakan isu hudud sebagai bahan untuk kempen mereka.

Katanya agama dan politik adalah dua perkara yang tidak seharusnya dicampur adukkan apatah lagi sebagai bahan kempen.

"Bawalah apa sahaja bahan, tetapi bukan agama, bukan hudud. Bila dah cakap banyak pasal, ada yang mungkin tidak sedar akidah terjejas.

"Kita faham, kalau bukan Islam hudud memang mereka tolak, tetapi jika yang bercakap itu orang Islam, dia atas tiket politik, mereka perlu berhati-hati, elakkan," katanya. – Bernama

Tiada ulasan: