Jumaat, 9 Mei 2014

Bas percuma ke Perpustakaan Awam Selangor setiap Sabtu, Ahad

Oleh: LIZAWATI MADFA


SHAH ALAM,: Warga Shah Alam kini berpeluang menggunakan perkhidmatan pengangkutan bas secara percuma ke Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Seksyen 13, di sini.

Timbalan Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, berkata perkhidmatan yang mula beroperasi itu juga adalah sebahagian tanggungjawab sosial dan keprihatinan pihaknya dalam menyediakan kemudahan buat warga kota.

“Kita prihatin dengan keperluan pengangkutan ke PPAS, khususnya cuti sekolah atau hujung minggu.

MBSA-Shahrin Ahmad“Pada waktu ini selalunya bilangan pengunjung bertambah, jadi perkhidmatan bas percuma pasti membantu,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini.

Katanya, MBSA menyediakan bas mini jenis ‘coaster’ yang boleh memuatkan seramai 16 orang penumpang pada satu masa dan akan beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad setiap minggu.

Bas itu akan menunggu penumpang di perkarangan tempat letak kereta Pasaraya Ole-Ole, Seksyen 18 pada jam 10.00 pagi dan 2.00 petang dan akan melalui beberapa lokasi tumpuan seperti Stesen Komuter, Seksyen 19, Kompleks PKNS, dan Pangsapuri Perdana, Seksysen 13.

Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi pihak urusetia Bahagian Pembangunan Masyarakat, Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti MBSA di talian 03-5522 2735.

Sejak awal Mac lalu, MBSA turut menyediakan perkhidmatan bas percuma yang bermula di Hentian Pusat Bandar, Seksyen 14 dan akan melalui beberapa seksyen seperti 2, 7, 11, 16, 17 dan 18.

Perkhidmatan itu juga beroperasi tiga kali sehari dari Hentian Pusat Bandar, Seksyen 14 pada jam 7.30 pagi, 11.30 pagi dan 4.30 petang.-NFN-

Tiada ulasan: