Sabtu, 24 Mei 2014

'Anda mahu kami siasat 'penceroboh' bawah Sosma?'

MALAYSIAKINI



 


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pasukan itu lebih mengetahui di bawah undang-undang mana untuk menyiasat penceroboh yang masuk ke Dewan Undangan Pulau Pinang pada hari Rabu.

"Undang-undang mana yang anda jangkakan kami akan siasat mereka? Seksyen apa yang anda mahu kami tangkap mereka?" katanya dalam satu sidang akhbar di Pulau Pinang hari ini.

Katanya, mereka disiasat di bawah tiga seksyen - 147, 427 dan 448 - Kanun Keseksaan.

"Jangan ingat kami tidak beri perhatian serius," tambah Khalid.

"Anda mahu kami menyiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau Sosma?"

Sosma digubal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yang telah dimansuhkan.

Beberapa individu ditahan di bawah Sosma pada tahun 2013 kerana didakwa ada kaitan dengan aktiviti pengganas.

Khalid menjawab pertanyaan seorang wartawan yang menyatakan ada kritikan bahawa pihak polis sepatutnya menggunakan seksyen yang lebih berat untuk menyiasat kes pencerobohan ke dalam Dewan itu.

Ini berkaitan dengan kejadian pada hari Rabu apabila 12 orang termasuk ahli Umno dan PERKASA merempuh masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri mencari ADUN DAP Seri Delima RSN Rayer.

Ia ekoran kenyataan Rayer yang dilaporkan menyebut perkataan "celaka" yang ditujukan kepada tiga pemimpin Umno, yang dianggap satu penghinaan kepada orang Melayu dan umat Islam.

Dua belas lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Wartawan tersebut merujuk kepada kenyataan MP PKR Alor Setar,
Gooi Hsiao Leung (kanan), semalam, yang juga seorang peguam, bahawa polis sepatutnya menyiasat penceroboh tersebut di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti yang "memudaratkan" demokrasi berparlimen.

Hukuman bagi tuduhan tersebut, kata Gooi, ialah hukuman maksimum penjara 20 tahun.

Menurut Gooi lagi, mereka juga boleh didakwa di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyerang atau intimidasi jenayah terhadap seorang ADUN, yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara.

Khalid menjawab: "Dalam kes ini, kami (polis) lebih mengetahui seksyen mana untuk menyiasat. Jika peguam itu fikir dia lebih tahu, Kita lihatlah apa yang berlaku di mahkamah."

Beliau berkata pasukan polis bersedia menghadapi sebarang kemungkinan semasa kempen pilihan raya Bukit Gelugor, yang akan berakhir tengah malam esok. Pengundian ditetapkan pada hari Ahad.

Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya sebelum bercakap "fikir dahulu dua atau tiga kali" tentang akibatnya.

Khalid berkata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi telah mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang terlibat insiden di Dewan Undangan Negeri itu.

Tiada ulasan: