Sabtu, 17 Mei 2014

Alasan Ahmad Said keluar Umno remeh, minta pilihan raya semula, kata rakyat Terengganu

OLEH MOHD FARHAN DARWIS

 
Meskipun krisis politik di Terengganu berlalu dengan pantas dan Barisan Nasional (BN) masih kekal memerintah negeri itu, penduduk Terengganu berasa alasan yang diberikan bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said (gambar) terlalu remeh untuk meninggalkan Umno.

Kebanyakan penduduk di kawasan Kuala Terengganu yang ditemui The Malaysian Insider berpendapat, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal itu agak keterlaluan berikutan risiko tindakannya itu mampu menukar kerajaan yang memerintah Terengganu.

"Kami rasakan tindakan beliau keluar Umno semata-mata salah faham tarikh perkahwinan anaknya suatu perkara yang terlalu remeh," kata Wan Mohd Nazmi, 23.

Pekerja dalam bidang carigali petroleum dan gas yang merupakan anak jati Terengganu itu berkata, alasan yang diberikan Ahmad seumpama "kanak-kanak yang merajuk."

"Risiko berlaku pertukaran kerajaan itu boleh berlaku jika krisis ini berpanjangan," katanya.

Mohd Zaki Abdullah, 32, turut berasa tindakan Ahmad bersama Adun Ajil Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi Roslee Daud meninggalkan Umno agak keterlaluan dengan alasan sedemikian.
"Perkara itu tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Mohd Zaki turut menambah, beliau bagaimanapun mengharapkan akan berlaku pilihan raya negeri di Terengganu untuk menyelesaikan kemelut itu.

"Krisis ini tidak akan tamat dengan mudah ... saya rasa lebih baik diadakan pilihan raya negeri semula," katanya yang juga pekerja dalam bidang carigali petroleum dan gas.

Sementara itu, pelajar berusia 21 tahun, Amir Abd Aziz berkata, meskipun Ahmad dikenali sebagai seorang yang "gopoh", dan mencetuskan isu yang menggoncang kerajaan Terengganu, anak-anak muda negeri itu berasa beliau banyak menyumbang untuk pembangunan sukan di Terengganu.

"Ahmad disukai anak-anak muda kerana beliau amat mengambil berat berkenaan sukan di sini.

"Terutamanya sukan berbasikal dan aktiviti sukan bermotor. Beliau yang membangunkan sukan-sukan ini di Terengganu," katanya.

Ahmad bersama dua Adun mengumumkan keluar Umno pada 13 Mei, sehari selepas Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah pada malam 12 Mei.

Tindakan itu mencetuskan kontroversi ekoran jumlah perbezaan kerusi yang terlalu tipis antara BN dan Pakatan Rakyat (PR) di Terengganu.

BN memiliki 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PR dari PAS dan PKR masing-masing 14 dan satu kerusi.

Dengan pengisytiharan keluar parti oleh Ahmad, Ghazali, dan Roslee, sekaligus menyaksikan DUN Terengganu memiliki tiga kerusi adun Bebas dengan kedudukan genting buat BN apabila hanya memiliki 14 jumlah kerusi.

PAS juga ketika itu mendesak pilihan raya negeri dilaksanakan di Terengganu.

Ketiga-tiga anak muda itu bagaimanapun berasa sekiranya pilihan raya negeri berlaku, BN akan kehilangan lebih banyak kerusi dan PAS akan mengambil alih Terengganu.

"Kita sudah tahu akan berlaku pertukaran menteri besar tetapi tidak menjangkakan keadaan sebegini yang akan terjadi," kata Amir.

Penuntut dalam bidang kejuruteraan itu berkata, khabar angin berkenaan  pertukaran Ahmad sebagai menteri besar mula tersebar selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berlangsung.

Krisis politik di Terengganu bagaimanapun selesai apabila Ahmad dan dua rakan Adun  itu menarik balik surat pengisytiharan keluar Umno mereka kurang 48 jam kemudian.

"Kita sebagai rakyat melihat sahaja keputusan kepimpinan negeri," kata ahli perniagaan, Hassan Mazlan, 37.

Beliau berkata, rakyat akan menilai tindakan mana-mana pemimpin dan membuat keputusan selanjutnya berdasarkan penilaian mereka.

"Kalau 'molek' baguslah ... tapi kalau tindakan tidak molek rakyat akan nilai," katanya.

Bersependapat dengan beliau, Mariatul Mohammad, 30, yang berpendapat tindakan Ahmad agak keterlaluan jika dibandingkan dengan isu sebenar yang menjadi punca insiden tersebut.

Ketika menjelaskan alasan terhadap tindakannya, Ahmad berkata, insiden tersebut berlaku disebabkan salah faham antara beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung tarikh perkahwinan anak perempuannya yang berlangsung pada 17 Mei ini.

Ahmad berkata, perdana menteri itu menyangka majlis berkenaan sudah selesai pada 10 Mei, sekaligus menyaksikan Ahmad digantikan dengan Ahmad Razif sebagai menteri besar.

Perdana menteri dan Ahmad Razif dijangka akan menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Ahmad itu di kediamannya di Kemaman, Terengganu.

Tiada ulasan: