Sabtu, 17 Mei 2014

Biarawati mangsa rompakan masih koma

OLEH JENNIFER GOMEZ


Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melawat dua biarawati, mangsa serangan berhampiran gereja, Rabu lalu di Hospital Seremban, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Faisal Salehhuddin, 16 Mei, 2014.Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melawat dua biarawati, mangsa serangan berhampiran gereja, Rabu lalu di Hospital Seremban, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Faisal Salehhuddin



























Salah seorang biarawati yang diserang berhampiran sebuah gereja di Seremban awal pagi Rabu lalu masih dalam keadaan koma dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Pihak berkuasa di Hospital Seremban berkata, keadaan Juliana Lim, 68, masih tidak berubah.
Sementara itu, rakan mangsa, Mary Rose Teng, 80, yang mengalami keretakan dijangka sembuh beberapa hari lagi.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut melawat dua biarawati tersebut yang diserang pada jam 6 pagi berhampiran kawasan gereja dua hari lalu.

Shahrizat cuba menenangkan adik Juliana yang menemaninya dalam wad dan melawat Marie Rose yang berada dalam wad sama.

Bercakap kepada wartawan, Shahrizat mengecam serangan kejam tersebut dan menggesa polis menyiasat serta membawa penjenayah tersebut ke muka pengadilan secepat mungkin.

Sementara itu, Ketua Rahib daerah. Celina Wong menggesa semua pihak menghormati privasi kedua-dua biarawati dan ahli keluarga mereka.

"Walaupun insiden kejam ini mencetuskan kemarahan ramai, kami gesa semua pihak untuk menghormati privasi biarawati ini dan ahli keluarganya.

"Kami berharap semua gambar biarawati ini ditarik balik dan berikan mereka sedikit ruang," kata Celina dalam satu kenyataan.

Pihak gereja, Church of the Visitation dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan rakaman litar tertutup di gereja, kira-kira jam 6.05 pagi, sebuah motosikal kelihatan membuat pusingan-U dan terus masuk ke dalam pagar gereja.

Penyerang yang memakai topi keledar penuh dan membawa lampu suluh mengejar kedua-dua biarawati tersebut.

Pada jam 6.07 pagi, penyerang tersebut lari selepas mendapat barang yang dikehendakinya dan meninggalkan kedua-dua biarawati itu yang terbaring di depan pintu gereja.

"Malangnya, media sosial dan wartawan mensensasi dan mempolitikan insiden tragik ini.

"Dengan situasi terkini dalam negara, insiden begini akan dilihat berkait rapat dengan sentimen kaum dan agama," kata Paderi John Gnanapiragasam dalam satu kenyataan.

Selain itu, pihak gereja masih gagal mendapatkan saksi di tempat kejadian dan polis sedang meneliti setiap aspek siasatan.

Tiada ulasan: