Rabu, 7 Mei 2014

ADUN Lenggeng pertikai MB soal lantikan JKKK

 
Beliau selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan langsung tidak mahu mendengar dan mengambil kira suara ahli Umno yang lain.
ishak ismail

SEREMBAN:  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Ishak Ismail mempertikaikan keputusan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam urusan pemilihan Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Batu 7, Batu 8 dan Batu 9, Pantai di bawah DUN Lenggeng.

Ishak yang juga merupakan Ketua Umno Cawangan Pantai, berkata, jelas sekali keputusan tersebut dibuat tanpa merujuk dan mempedulikan segala cadangan dikemukakan oleh Umno Cawangan Pantai dan Pantai Setia.

“Beliau (Mohamad) selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan langsung tidak mahu mendengar dan mengambil kira suara ahli Umno yang lain.

“Kita menolak pelantikan terbabit berikutan mendapati individu yang dipilih tidak memenuhi kriteria ditetapkan seperti mempunyai rekod jenayah, bukan ahli Umno tempatan, tidak menetap dalam kawasan jagaan dan membantu pembangkang berkempen semasa Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu.

“Justeru, kita akan bawa perkara ini ke Mahkamah dan kita mahu mahkamah membatalkan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri dalam pelantikan jawatan JKKK terbabit,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Umno Cawangan Pantai dan Pantai Setia
Ishak berkata beliau bersedia menerima sebarang risiko, termasuk kehilangan jawatan dimiliki sekarang.

Mesyuarat Agung tersebut dirasmikan oleh Ahli Lembaga Disiplin Umno, Datuk Mohd Noor Abdullah. Turut hadir Ketua Umno Bahagian Seremban yang juga merupakan ADUN Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Redza.

Tiada ulasan: