Isnin, 14 Oktober 2013

Zahid Hamidi, King Ghaz Jr?

Oleh ALI BUKHARI AMIR 


“DEMI sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata.” (maksud Surah An- Naml, ayat 21)
Tabiat marah-marah penguasa ke atas wartawan ini bukan tiada asasnya di dalam al-Quran.

Seorang raja teragung bertaraf nabi pada zaman nan silam, Raja Sulaiman a.s pernah mengugut akan menyembelih ‘seekor wartawan’; burung Hud Hud jika burung itu gagal menyatakan alasan yang jelas berhubung ketidakhadirannya dalam sebuah perbarisan pada suatu pagi.

Dalil tentang wujudnya darjat ‘kepemberitaan’ burung Hud Hud ini dirujuk pada ayat selepasnya, “Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata: ‘Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba’ dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya. (Surah An- Naml, ayat 22)

Jelas, Hud Hud adalah ‘wartawan’ pembawa khabar berita yang benar, ‘naba’in yaqiinin’ (khabar berita yang diyakini kebenarannya) dan kebenaran berita itu yang menyelamatkan dirinya daripada menjadi korban sembelihan oleh penguasa negara.

Syahadan, hari ini, kejadian  herdik-herdik oleh penguasa negara terhadap kaum wartawan ini masih juga terjadi. Antara kes terbaru membabitkan wartawan Malaysiakini yang menanggung pedih marah-marah seorang Zahid Hamidi, menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN). Sebenarnya, Zahid Hamidi bukanlah watak yang terawal menghina dan mengherdik wartawan itu.

Menteri Dalam Negeri yang lebih awal mengherdik wartawan adalah Ghazali Shafie atau King Ghaz. Gelar itu mempamer sikap pemarahnya ke atas kaum wartawan. Dalam ruangan Sembang Sabtu di Berita Harian, tanggal 24 September, 2005, catatan berikut adalah dipetik: “Dari dulu lagi, budak-budak (wartawan) ini dah lama tahu. Dari dulu dah kena marah, dia saja belum kena marah,” jawab King Ghaz untuk menunjukkan sikapnya itu adalah perkara biasa bagi wartawan.

Ghazali berkata, beliau tidak lagi mengikuti perkembangan politik semasa kerana tidak mendapat maklumat. “Tak ada, politik pun saya dah lama tinggal,” katanya.

“Tapi Tun baca surat khabar,” kata penulis cuba menolak hujah beliau.

“Bacalah, surat khabar awak pun baca, semua baca,” jawab beliau.

“Bukan boleh percaya dengan awak semua tu, saya tak percaya dengan budak-budak ni (wartawan) menulis ni. Dia tulis idea dia saja, idea pun pendek aje. Bila baca, macam pergolakan di Selatan Thailand, untuk Thailand saja. Tak ada analisis, laporan saja... saya tak suka, tak cukup ilmu,” katanya yang suka mengikuti siaran CCTV yang disifatkan bebas daripada propaganda Amerika dan Barat.

Itu kisah marah-marah King Ghaz terhadap wartawan seperti dilaporkan di Berita Harian. Ghazali yang meninggal pada tahun 2010 itu pernah memenjarakan A Samad Ismail dengan menggunakan ISA.

Wartawan Malaysiakini Aidila Razak pernah menulis luahan anak tokoh wartawan itu (Nuraina Samad) pada 29 Mac 2012 dalam laporannya, ‘This is the communist’s daughter! ’ sebagai berikut: “Nuraina, who started working for the NST when her father was in detention, was so angry with Ghazalie, also known as King Ghaz, that she never covered any event where the minister was present.

“I told my bosses, ‘Don’t send me to any of his assignments because I could do some criminal thing.’ I don’t know if they really believed me, but maybe they thought I was so angry that I might,” she said.

Jadi, King Ghaz tidak cuma membenci wartawan, malah sikap barannya itu turut menuai kebencian wartawan, sekali gus mengundang kebencian anak wartawan kepadanya. Namun, siapalah yang boleh mengingati Ghazali yang barannya itu.

Wartawan baru yang sudah mengenali baran Zahid Hamidi ke atas wartawan sekali pun sudah melupakan marah-marah Ghazali itu. King Ghaz sudah mati di dalam fikiran mereka dan sejarah negara ini.

Marah-marah King Ghaz ini tidak bermula daripada kekosongan. Beliau bermula sebagai penyokong Tun Abdul Razak dalam menjalankan misi penggulingan ke atas Tunku Abdul Rahman.

Kajian dan hipotesis Kua Kia Soong tentang cerita 13 Mei, 1969 mendapati bahawa Abdul Razak cuba melakukan rampasan kuasa terhadap Tunku melalui sokongan Harun Idris, Dr Mahathir Mohamad termasuklah Ghazali Shafie sendiri.

Tetapi siapalah King Ghaz di hati generasi muda hari ini? Marah-marahnya kepada wartawan tenggelam dalam sejarah gelap yang dia sendiri ciptakan. Kita mahu bangunkan peringatan ke atas Zahid dengan peringatan serupa. Zahid juga bakal dilupakan orang dan yang tinggal kekal hanyalah himpunan kisah buruk Zahid seperti mana kisah buruk King Ghaz!

Jika kata-kata ugutan raja teragung Raja Sulaiman a.s ke atas wartawan Hud Hud pun boleh dipahatkan di dalam al-Quran, maka siapalah King Ghaz dan Zahid di di sisi Tuhan untuk memadamkan salah laku mereka pada akhir zaman dengan marahmarah dan panas baran mereka ke atas kaum wartawan itu?

Tiada ulasan: