Rabu, 9 Oktober 2013

Wang dan kuasa jadi rebutan dalam MCA

MALAYSIA CHRONICLE

Wang dan kuasa jadi rebutan dalam MCA   
Dua insiden yang berlaku dalam MCA minggu lalu dilihat mempunyai persamaan; Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (gambar) sedang mengukuhkan kedudukannya menjelang pemilihan parti itu pada Disember depan.

Sehari selepas veteran parti Datuk Lee Hwa Beng dipecat kerana menjemput pemimpin pembangkang semasa pelancaran bukunya, Timbalan Presiden MCA, Datuk Datuk Seri Liow Tiong Lai menerima kecaman kerana meninggalkan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) secara tergesa-gesa pada 20 Oktober.

Kedua-dua insiden berkenaan mengakibatkan Dr Chua dan sekutunya bertikam lidah dengan golongan penentang untuk memastikan laluan mudah sama ada diri ataupun penggantinya mengawal aset bernilai RM2 bilion.

"Jelas bukan?" kata bekas timbalan presiden MCA, Tan Sri Lim Ah Lek kepada The Malaysian Insider.

Lee dan Liow - yang sedang mengintai kedudukan tertinggi parti - sering dikritik oleh Dr Chua secara terbuka, malah Lee sendiri berkata, beliau sedang berkempen "Asal Bukan Chua Soi Lek" kerana Dr Chua memalukan komuniti Cina dan parti akibat daripada skandal seksnya.

Walaupun Dr Chua sebelum ini berkata beliau tidak akan mempertahankan kerusi berkenaan, tindakan terbarunya itu menimbulkan spekulasi bahawa pemimpin dari Johor itu akan berubah fikiran.

Persoalan yang timbul adalah mengapa mereka berebut jawatan parti yang ditolak oleh rakyat semasa pilihan raya umum pada 5 Mei lalu?

Jawapannya adalah disebabkan kuasa dan wang.

Parti veteran Cina dalam Barisan Nasional (BN) itu dikenal pasti mempunyai senarai aset, termasuk blok pejabat 43 tingkat gred A yang menjana pendapatan RM2 juta sebulan dan ia terletak di lokasi berharga di ibu negara.

Mereka juga memiliki kepentingan sebanyak 42.4% dalam pengedaran akhbar berbahasa Inggeris The Star sejak 2010, pendapatan daripada kedua-dua Wisma MCA dan dividen daripada Star membolehkan MCA menerima jumlah pendapatan bernilai  RM320 juta.

"Duit itu boleh disalurkan kepada parti, dan siapa juga menjadi presiden berkuasa menentukan arah tujuan duit berkenaan. Secara ringkas, ia boleh digunakan untuk menarik kesetiaan," kata seorang “warlord” MCA.

Presiden juga berkuasa untuk mengesyorkan jawatan di pelbagai peringkat agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan, dan mengesyorkan gelaran kehormatan dianugerahkan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk penyokong setia, yang akan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai ketua parti.

Masih terdapat banyak kepentingan dalam mendapatkan jawatan kerajaan seperti yang terbukti dalam ketiga-tiga resolusi EGM untuk mengubah pendirian sebelum ini.

Ia ditetapkan selepas MCA gagal mencapai sasaran mereka pada PRU13, malah kehilangan separuh kerusi mereka apabila hanya memperolehi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 15 Parlimen dan 32 kerusi DUN pada pilihan raya 2008.

Putrajaya juga memberikan kekosongan bagi jawatan Menteri Pengangkutan untuk MCA yang sekarang ini diisi sementara oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Pertembungan ini tidak akan berhenti kerana ia tidak akan menghasilkan pemenang kerana mereka kalah teruk dalam pilihan raya.

"Mereka cuba menewaskan mana-mana pihak untuk kuasa dan kegagalan untuk bekerjasama ini menunjukkan karakter kepimpinan mereka," kata Pengarah Center for Policy Initiative (CPI), Dr Lim Teck Ghee.

Pada akhirnya, 6.9 juta populasi Cina melihat pemimpin MCA hanya mementingkan diri mereka sendiri, kata pengkritik.

"MCA di persimpangan. Jika permainan mereka masih lagi sama, mereka tidak lagi relevan kecuali muka dan kepimpinan baru ditonjolkan dan memahami mengapa rakyat meminggirkan mereka," kata pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian.TMI

Tiada ulasan: