Khamis, 17 Oktober 2013

Umno Lembah Pantai dan Pasir Salak dakwa wujud politik wang

OLEH DIYANA IBRAHIM

























Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Lembah Pantai, Mohyiddin Mohamad dan calon Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Salak, Mohd Nazari Sabran mendakwa wujudnya unsur penyelewengan dan politik wang ketika mesyuarat cawangan dan pemilihan tiga sayap parti pada Sabtu lalu.

Mohyiddin berkata, sogokan wang tersebut dipercayai membabitkan bukan saja ketua bahagian namun turut melibatkan timbalan dan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Katanya, ini bukan kali pertama calon tersebut melanggar etika dan perlembagaan parti kerana ia  berlaku sejak empat tahun lalu dan pihak berkenaan juga tidak mengikut beberapa peraturan mesyuarat Sabtu lalu.

 Pada Sabtu lalu, katanya, pentadbiran bahagian menyediakan sidang video untuk penyandang jawatan merasmikan mesyuarat tiga sayap walaupun tiada ucapan ketua bahagian sebelum ini.

"Sekurang-kurangnya empat aduan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemilihan, Lembaga Displin dan Ibu Pejabat Umno kerana wujudnya politik wang dalam kempen.

“Ia dipercayai dilakukan oleh ejen calon bagi memastikan barisan kepimpinan tertentu menjadi pilihan perwakilan pada pemilihan Umno," katanya kepada akhbar Berita Harian.

Sementara itu, di Ipoh, pencabar jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Salak mendakwa lawannya Dr Faizal Tajuddin mengedarkan beberapa barangan kepada perwakilan ketika tempoh berkempen.

Katanya, ia termasuk sebuah buku tertulis "Direktori Untuk Kepimpinan Pergerakan Pemuda Umno Cawangan yang memaparkan segala aktiviti Ketua Pemuda Bahagian tersebut.

"Di dalam buku tersebut menunjukkan gambar individu terbabit mengagihkan barangan pertanian dan sukan kepada perwakilan, maka kita persoalkan apa locus standi dia mengagihkan barangan itu," katanya.

Bagaimanapun, Dr Faizal menafikan dakwaan itu dan menyifatkan tuduhan itu tidak berasas.

Pada pemilihan Umno Bahagian Sabtu lalu, Dr Faizal menewaskan Mohd Nazari dengan 243 undi berbanding 163 yang diperolehi pencabarnya.

Tiada ulasan: