Khamis, 10 Oktober 2013

TPP: Kenyataan Najib sekadar penyedap hati

SINAR HARIAN
Anwar Ibrahim 
 Datuk Seri Anwar Ibrahim

PETALING JAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Perdana Menteri yang mengatakan Malaysia bukan "pak turut" dalam rundingan Perjanjian Perkongisan Trans-Pasifik (TPPA) itu sebagai kenyataan lunak semata-mata.

Malah beliau tidak menyakini Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengulangi kenyataan yang sama selepas bertemu dengan Setiausaha Negara Amerika, John Kerry dan pada Perhimpunan Agung Umno, 19 Oktober ini.

"Saya tidak mahu persoalkan keikhlasan Datuk Seri Najib itu, tetapi beliau adalah orang yang paling ketara dalam mendukung TPPA, malah memberi jaminan kepada Presiden Amerika Barrack Obama untuk meneruskan perjanjian itu.

"Itu hanya kenyataan lunak sahaja sebelum memikirkannya, belum tentu kenyataan sama akan dibuat setelah beliau bertemu dengan John Kerry esok, ataupun kenyataan yang sama pada perhimpunan agung Umno," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut kenyataan Perdana Menteri semalam yang mengatakan Malaysia bukannya "pak turut" dalam rundingan TPPA sebaliknya ia satu inisiatif bagi mewujudkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) di seluruh rantau Asia Pasifik dan demi menjaga kepentingan negara.

Sebaliknya Najib berkata Malaysia telah menyatakan pendirian tegas untuk melakukan proses dalaman iaitu menerangkan perjanjian itu kepada kabinet, rakyat serta perbahasan di Parlimen, sebelum membuat keputusan.

"Kita tak jadi 'pak turut' sama sekali, itu tidak benar," katanya kepada pemberita Malaysia selepas menghadiri mesyuarat para pemimpin TPP, di Nusa Dua, Bali, semalam.

Tiada ulasan: