Rabu, 16 Oktober 2013

TI-M cadang RCI siasat Mahathir dalam perjanjian TNB

Oleh Md Izwan



















Transparency International Malaysia (TI-M) hari ini menggesa satu Suruhjaya Inkuiri Diraya (RCI) bagi menyiasat Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan pembekal elektrik negara Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditubuhkan kerana kemungkinan wujudnya penyelewengan.

Badan pemantau rasuah itu berkata, pendedahan oleh bekas Pengerusi Eksekutif TNB, Tan Sri Ani Arope yang mengatakan semua keputusan perjanjian pembelian tenaga dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menimbulkan keraguan terhadap ketelusan perjanjian tersebut.

"Dr Mahathir semasa menjadi perdana menteri dan mengetuai Unit Perancangan Ekonomi (EPU) mempunyai kata putus dalam perjanjian yang ditandatangani oleh TNB, perkara ini didedahkan oleh Ani dalam buku terbarunya 'Memoirs of Tan Sri Ani Arope'.

 "Walaupun tidak menyatakan secara khusus mengenai elemen rasuah tetapi ia menunjukkan wujud kelemahan ketelusan dalam terma syarat PPA sebelum itu," kata Presidennya, Datuk Akhbar Satar dalam satu kenyataan hari ini.

Akhbar berkata, keraguan melibatkan perjanjian PPA juga terserlah apabila TNB mengenakan kadar yang tinggi kepada pengguna walaupun mendapat subsidi sebanyak 23 seen seunit (300 peratus) daripada kerajaan.

"Sebaliknya, kita melihat tarif elektrik naik beberapa kali dalam 20 tahun yang lalu, walaupun kuasa pasaran boleh menyebabkan harga elektrik turun ke tahap yang selesa.

"Tidak ada sebab mengapa pengguna isi rumah perlu dipaksa untuk membayar harga elektrik yang besar, ketika TNB dapat mengeluarkannya pada kadar 8 sen seunit (kWh), tetapi IPP dibayar sebanyak 23 sen per unit (300 peratus)," katanya.

Perjanjian PPA pertama ditandatangani pada 1994 dan akan tamat pada 30 September 2015 dan TI-M menggesa supaya Putrajaya tampil secara telus dalam menyemak semula perjanjian tersebut.

"Kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Razak dan TNB perlu secara telus menyemak perjanjian semula dengan IPP untuk mengurangkan kos elektrik, terutama mereka menikmati subsidi minyak daripada kerajaan sejak 21 tahun lalu," katanya.

Akhbar berkata, IPP pastinya sudah memperoleh modal pelaburan daripada loji mereka, maka secara komersilnya mereka mampu untuk menurunkan tarif elektrik.

"Dengan pertumbuhan banyak IPP, pasaran sepatutnya menjadi lebih kompetitif dan pengeluar tenaga pastinya perlu lebih menjadi lebih efektif," katanya.

Mengenai semakan semula perjanjian dengan IPP, Akhbar mencadangkan supaya kerajaan juga bekerjasama dengan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) untuk mendapatkan input dan pandangan yang bernas bagi menyelesaikan permasalahan yang dibangkitkan.

"Mereka wajar dijemput untuk duduk sama dalam perbincangan dan berikan mereka input ataupun kerajaan perlu buktikan kemampuannya sendiri untuk mengurangkan beban kepada orang ramai yang berhadapan peningkatan kos sara hidup saban hari," katanya.

Selain itu, TI-M mendesak Putrajaya menubuhkan RCI bagi menyiasat ketirisan perjanjian yang menguntungkan IPP.

"Petunjuk jelas ini menunjukkan terdapat perjanjian berat sebelah yang menguntungkan IPP.

"Ia juga menunjukkan kerajaan mempunyai alasan yang jelas untuk untuk menubuhkan sebuah RCI untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku, dan mengapa TNB terpaksa membayar harga besar untuk bekalan elektrik, ketika mereka boleh menghasilkannya pada satu pertiga daripada harga asal.

"Tiada sebarang analisis boleh dibuat untuk menjelaskan keputusan ekonomi luar biasa tersebut, dan keputusan tersebut dibuat oleh Unit Perancangan Ekonomi yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Pakatan Rakyat menganggarkan jumlah subsidi korporat yang diberikan kerajaan adalah hampir dengan pemotongan subsidi petrol dan diesel yang berjumlah RM14.8 bilion diumum Najib pada September baru-baru ini.

Tiada ulasan: