Sabtu, 19 Oktober 2013

Siling Hospital Serdang runtuh 3 kali dalam3 tahun

Oleh TEO NIE CHING (Ahli Parlimen Kulai)

 
Hospital Serdang yang mula beroperasi sejak Disember 2005 dengan kos pembinaan sejumlah RM690 juta ini telah melaporkan keruntuhan siling sebanyak 3 kali iaitu kali pertama pada Januari 30, 2011, kali kedua pada Ogos 13, 2012 dan kali ketiga pada September 30, 2013.

Selepas kejadian pertama, saya telah menyoal Menteri Kesihatan di Parlimen bagaimana beliau dapat menjamin bahawa keruntuhan siling tidak akan berlaku lagi.

Liow Tiow Liang, bekas Menteri Kesihatan menyatakan bahawa RM800 ribu akan dibelanjakan untuk mengganti siling seluas 2500 meter persegi di Hospital tersebut.

Beliau juga menyatakan bahawa Kementerian Kerja Raya akan menjalankan siasatan terhadap sebab-sebab berlakunya keruntuhan tersebut serta menjalankan kerja-kerja pembaikpulihan dan pengubahsuaian.

Beliau juga mendapati bahawa Hospital tersebut mempunyai siling yang longgar dan merbahaya selain daripada siling yang telah jatuh.

Maka dengan itu Kementerian Kerja Raya juga akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya seperti menurunkan siling tersebut dan pasukan penyiasat akan membuat siasatan terhadap serpihan siling untuk melihat sama ada runtuhan yang berlaku itu disebabkan oleh masalah struktur, reka bentuk atau dari aspek penyelenggaraan.

Walaubagaimanapun, insiden kedua keruntuhan siling berlaku di hospital yang sama pada Ogos 13, 2012 di mana tiga jururawat dan seorang pegawai perubatan wanita di Jabatan Kecemasan dilaporkan cedera.

Setahun selepas insiden kedua berlaku, kejadian keruntuhan siling berulang sekali lagi di luar wad bersalin.

S Subramaniam, Menteri Kesihatan yang baru dilantik telah memberi jaminan yang sama, di mana Kementerian Kesihatan akan membuat pemeriksaan yang menyeluruh terhadap struktur siling dari segi kontraktor, spesifikasi pembinaan dan kerja penyelenggaraan untuk mencari sebab-sebab keruntuhan secara terperinci.

Keruntuhan siling berlaku sebanyak 3 kali dalam 3 tahun di Hospital Serdang dan nampaknya Kementerian Kesihatan tidak mengambil sebarang pengajaran daripada insiden yang berlaku sebelum ini.

S Subramaniam perlu menunjukkan bahawa beliau adalah lebih bertekad dan berkewibawa daripada Liow Tiong Lai untuk mengelakkan insiden yang sama berlaku sekali lagi.

Jikalau tidak, pegawai perubatan, pesakit dan keluarga mereka masih akan menghadapi ancaman keselamatan yang sama pada masa hadapan.

Oleh itu, saya mencabar beliau, adakah S Subramaniam berani untuk memberi akujanji dimana jika insiden keruntuhan siling berlaku di Hospital Serdang bagi kali yang keempat, beliau akan meletak jawatan selaku Menteri Kesihatan?

Tiada ulasan: